Assalamualaikum...

جزاك الله خيرا

~ Tarikh ~

12 December 2012

10 Surah dapat Menghalang daripada 10 ujian Besar Allah


1- Surah Al-Fatihah dapat memadam kemurkaan Allah SWT.

2- Surah Yasin dapat menghilangkan rasa dahaga atau kehausan pada hari Kiamat.

3- Surah Dukhan dapat membantu kita ketika menghadapi ujian Allah SWT pada hari kiamat.

4- Surah Al-Waqiah dapat melindungi kita daripada ditimpa kesusahan atau fakir.

5- Surah Al-Mulk dapat meringankan azab di dalam kubur.

6- Surah Al-Kauthar dapat merelaikan segala perbalahan.

7- Surah Al-Kafirun dapat menghalang kita daripada menjadi kafir ketika menghadapi kematian.

8- Surah Al-Ikhlas dapat melindungi kita daripada menjadi golongan munafiq.

9- Surah Al-Falq dapat menghapuskan perasaan hasad dengki.

10- Surah An-Nas dapat melindungi kita daripada ditimpa penyakit was-was.

Perempuan Yang Terbaik Untuk Dijadikan Isteri


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam pernah ditanya siapakah perempuan yang terbaik ? Lalu baginda SAW pun menjawab : الَّتِي تَسُرُّهُ إِذَا نَظَرَ ، وَتُطِيعُهُ إِذَا أَمَرَ ، وَلَا تُخَالِفُهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِهَا بِمَا يَكْرَهُ Perempuan yang mengembirakan (suaminya) apabila melihatnya, mentaati suaminya apabila diperintahkan (dengan sesuatu arahan) dan tidak menyalahi suaminya dalam hal yang berkaitan dengan dirinya atau hartanya yang boleh membuatkan suaminya tak suka. [ Riwayat An-Nasaie]

Dalam hadith Tsauban RA pula meriwayatkan tentang Umar RA yang bertanya kepada Rasulullah SAW tentang harta yang sepatutnya dimiliki oleh orang yg beriman lalu baginda SAW pun menjawab : لِيَتَّخِذْ أَحَدُكُمْ قَلْبًا شَاكِرًا ، وَلِسَانًا ذَاكِرًا ، وَزَوْجَةً مُؤْمِنَةً تُعِينُ أَحَدَكُمْ عَلَى أَمْرِ الْآخِرَةِ Hendaklah kamu memiliki hati yang bersyukur, lisan yang berzikir (mengingati Allah) dan isteri beriman yg dapat membantu kami di dalam urusan akhirat. [riwayat Tirmidzi]

Ini petunjuk dari sunnah tentang cara mencari isteri yang dapat membahagiakan dunia dan akhirat.

1. Wajah dan dirinya mengembirakan hati suami (cantik itu subjektif, setiap lelaki harus mencari wanita yang cantik bagi dirinya)

2. Mentaati dan patuh pada suami. (Lihat perangainya, jenis melawan atau taat, sikap manusia bukan boleh berubah serta-merta)

3. Pandai menjaga hati suami dari melakukan sesuatu yg tidak disukai oleh suami.

4. Dapat membantu urusan agama/perjuangan di akhirat.

04 December 2012

Lafaz Yang Sering Kita Dengar


"Haiyya 'Alassolah.
Haiyya 'Alalfalah."

Lafaz yang sering kita dengar,
10 kali sehari (minima, kalau tak pernah dengar Iqamat selama ni.)

Kita hairan mengapa orang ramai,
tatkala mendengarnya,
tetap khusyuk bekerja,
tetap khusyuk bermain,
apakah pekak mereka-mereka ini?
Atau apakah mereka alah bisa tegal biasa akannya?

Dan mereka yang mendengar pula,
kadangkala terasa berat hatinya,
kadangkala terpaksa dirotan sampai berbirat,
barulah nak terhegeh-hegeh ke masjid,
padahal tok imam dah tarik nafas nak bagi salam kedua.

Apakah?

Barangkali,
kita terlupa,
akan tujuan hidup kita.
Akan matlamat penciptaan kita.

Barangkali jua,
definisi kejayaan kita tersasar,
kita terpedaya dengan kejayaan ciptaan manusia,
kita terpesona dengan janji-janji syaitan.

Allah tiadalah menjadikan sesuatu itu tanpa sebab.

"Haiyya 'Alassolah.
Haiyya 'Alalfalah."

Sekiranya azan tidak dikumandangkan 5 kali sehari,
apakah kita akan istiqamah dalam menunaikan solat 5 waktu?
Sekiranya hanya "Haiyya 'Alassolah" dilaungkan,
apakah kita akan tergerak untuk menunaikan solat pada awal waktu?

Benar, kita tidak memahami "Haiyya 'Alalfalah." itu apa,
tapi, Allah tetap akan menggerakkan hati kita.

Kerna Allah jadikan kita sebagai Khalifah,
maka pabila dibentangkan kepada seorang Khalifah,
akan jalan menuju kejayaan,
sudah pasti hatinya akan tergerak jua,
dengan izin Yang Maha Mengetahui.

Solat yang seterusnya,
adalah Asar.

Tatkala terdengarnya azan,
tetapkan hati.

"Aku ke Masjid, aku hendak menunaikan solat, kerna aku adalah Mukmin yang berjaya. Kerna aku beriman dengan surah al-Mu'minun."

Ciri-ciri seorang Mukmin yang berjaya,
banyak terdapat dalam surah al-Mu'minun.
Dan celiklah wahai Rijal-rijal, Nisa'-nisa' Mukmin,
kayu ukur yang pertama Allah nyatakan dalam menjadi mukmin yang berjaya,
tidak lain dan tidak bukan,
adalah mereka yang khusyuk dalam solatnya.

"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu' dalam sembahyangnya."

-Al-Mu'minun 23:1&2-

Moga Allah redha

Bendera Putih Al-Liwa dan Panji Hitam Ar-Rayyah


Bendera Putih Al-Liwa dan Panji Hitam Ar-Rayyah Lebih Layak Dikibarkan oleh Umat Islam Di Perkarangan Masjid dan Surau Serta Madrasah.

BENDERA ( AL-LIWA' )
Bendera ini adalah berwarna putih dan tertera diatasnya kalimah 'La ilaha illallah Muhammad Rasulullah' dengan tulisan berwarna hitam.

Ibnu Majah telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas yang mengatakan:
"Bahawa bendera (Al-Liwa') Nabi SAW berwarna putih, sedangkan panji (Ar-Rayyah) beliau warnanya hitam".

Riwayat Ibnu Abbas yang lain:
" Bahawa pada bendera Nabi saw tertulis kalimah 'La ilaha illallah Muhammad Rasulullah'".

Semasa perang (jihad), bendera ini akan dipegang oleh amir (panglima atau ketua) perang. Ia akan dibawa dan menjadi tanda serta diletakkan di lokasi amir berkenaan. Dalil yang menunjukkan perkara ini adalah perbuatan Nabi saw adalah dimana baginda sebagai amir semasa pembukaan Makkah membawa dan mengibarkan bendera putih bersamanya.

Diriwayatkan dari Jabir,:
"Bahawa Nabi saw memasuki Kota Makkah dengan membawa bendera (liwa') berwarna putih." [HR : IbnMajah]

PANJI ( AR-RAYYAH )
Bendera ini adalah berwarna hitam yang mana tertulis diatasnya kalimah 'La ilaha illallah Muhammad Rasulullah' dengan warna putih. Hadis riwayat Ibnu Abbas di atas menjelaskan hal ini kepada kita. Semasa jihad, ia dibawa oleh setiap ketua unit. Dalilnya adalah Rasulullah saw, semasa menjadi panglima perang Khaibar, bersabda:

"Aku benar-benar akan memberikan panji (rayyah) ini kepada orang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya serta dicintai pula oleh Allah dan Rasul-Nya, lalu Rasulullah saw memberikan panji itu kepada Ali." [HR Bukhari.]

Saidina Ali karamallahu wajhah pada masa itu boleh dikatakan bertindak sebagai ketua division .

Diriwayatkan dari Harits bin Hassan Al Bakri yang mengatakan,:
" Kami datang ke Madinah, disaat itu dan Rasulullah saw sedang berada di atas mimbar, sementara itu Bilal berdiri dekat dengan beliau dengan pedang di tangannya. Dan dihadapan Rasulullah terdapat banyak rayyah hitam. Lalu aku bertanya:

" Ini panji-panji?" Mereka pun menjawab: " (panji-panji) Amru bin Ash yang baru tiba dari peperangan ."

Maksud ungkapan " terdapat banyak rayyah (panji) hitam" menunjukkan bahawa terdapat banyak panji panji yang dibawa oleh para tentera walaupun amirnya hanyalah seorang.

Terdapat perbezaan antara Bendera Al-Liwa' dan Panji Ar-Rayyah:

~ Bendera Al-Liwa' adalah bendera rasmi Daulah Islamiyah yang berwarna putih dengan kalimat syahadah (berwarna hitam) tertera di atasnya. Sedangkan Bendera Al-Liwa' selalu diserahkan kepada panglima tentera.

~ Panji Ar-Rayyah digunakan disaat berlangsungnya perang jihad dan selalu diserahkan kepada beberapa pasukan tentera.

~Bendera Al-Liwa' akan dikibarkan di setiap markas dan rejimen ketenteraan. Oleh kerana itu tentera Negara Islam akan mempunyai sebuah Bendera Liwa' dan beberapa Panji Ar-Rayyah.

EDARKAN SEHINGGA DIBACA OLEH PARA PENTADBIR² MASJID DI KHARIAH² KITA DAN SELURUH ALAM MELAYU DAN UMAT ISLAM YANG MEMAHAMI BAHASA MELAYU. INSYA'ALLAH.

29 November 2012

PERLUNYA MENGAMAL TIGA SERANGKAI ILMU - TAUHID, FIQH DAN TASAUF SERENTAK.



Kita Belajar Ilmu Fiqh untuk mengesahkan amal zahir. Belajar Ilmu Tauhid (Aqidah) supaya hati (ruh) kenal Allah dan tidak sesat jalan hidup.

Kita belajar dan menghayati ilmu tasauf agar dapat mengubati penyakit mazmumah saperti ego, bongkak, takabbur atau riak. Penyakit penyakit ini adalah syirik kecil yang tersembunyi pada diri kita yang boleh membatalkan amal Fiqh dan amal Tauhid.

Ilmu tasauf mendidik hati manusia yang berakhlak "keras/ kasar/ biadab".Tasauf mengajar jadi "ihsan", sentiasa yakin bahawa "Allah tahu dan melihat apa yang kita buat". Buat hati jadi lembut, perangai juga lembut, tidaklah lagi melihat keburukan orang, mengata orang, memaki hamun orang,mengaibkan orang, dan suka buruk sangka terhadap orang. Tasauf mengajar kita supaya sentiasa bersedia memaafkan kesalahan orang lain. Belajar Fiqh dan Tauhid sahaja tidak cukup untuk mendidik hati. Ilmu Tasauf menjernihkan hati.

Kesimpulannya: Ilmu Aqidah adalah pokoknya, Fiqh adalah batangnya, Tasauf adalah buahnya.

Semuga semuanya memberi muinafa'at kepada kita...

Salam Ukhuwah

22 October 2012

Jangan mencaci sesama Islam


SATU hari, ketika Rasulullah SAW sedang berkumpul dengan para sahabatnya berhampiran Kaabah, seorang lelaki asing melintas di hadapan mereka. Setelah lelaki itu berlalu, Rasullullah berkata kepada para sahabatnya, “Dialah ahli syurga.” Rasullullah mengulanginya sebanyak tiga kali.
 Berikutan kenyataan Rasulullah itu, timbul perasaan ingin tahu di kalangan para sahabat terutamanya Abdullah bin Umar yang memang dikenali sebagai seorang yang sangat kritikal.
 Dia lalu bertanya kepada Rasulullah “Ya, Rasulullah, mengapa engkau katakan itu kepada kami, padahal selama ini kami tidak pernah mengenalinya sebagai sahabatmu? Sedangkan terhadap kami sendiri yang selalu mendampingimu engkau tidak pernah mengatakan hal itu?”
 Rasulullah menjawab soalan Abdullah dengan penuh diplomasi dan bijak. Rasulullah berkata, ‘‘Jika engkau ingin tahu tentang apa yang aku katakan, silakan engkau tanyakan sendiri kepadanya.”
 Abdullah yang mendengar jawapan Rasulullah itu semakin teruja untuk mengetahui apa istimewanya lelaki tersebut sehingga dia dikatakan sebagai ahli syurga.
 Berikutan itu Abdullah berkunjung ke rumah lelaki berkenaan bagi mendapatkan jawapannya.
 ‘‘Semalam sewaktu engkau melintas di hadapan kami, Rasulullah mengatakan bahawa engkau seorang ahli syurga. Apa yang menjadi rahsiamu sehingga Rasulullah begitu memuliakanmu?'' Lelaki itu tersenyum, kemudian menjawab, “Sesungguhnya aku tidak pernah melakukan apa-apa. Aku bahkan tidak memiliki kekayaan apa-apa. Baik ilmu mahupun harta yang mampu aku sedekahkan, apa yang aku miliki hanyalah kecintaan.
 ‘‘Kecintaan kepada Allah, kepada Rasulullah dan kepada sesama manusia. Dan setiap malam menjelang tidur, aku selalu berusaha menguatkan rasa cinta itu, sekali gus berusaha menghilangkan perasaan benci yang ada kepada sesiapa saja. Bahkan terhadap orang-orang kafir sekalipun.”
 Memelihara perasaan benci dan marah, bererti menyimpan perasaan ego. Wujudnya perasaan benci, bererti adanya sikap untuk menyalahkan orang yang dibenci itu dan menyalahkan orang lain bererti menganggap diri kita sahaja yang betul.
Kita tidak harus lupa bahawa sikap itulah yang ditunjukkan oleh syaitan ketika penciptaan Nabi Adam a.s.
 Kisah tersebut memberikan gambaran kepada kita, bahawa perasaan benci, bukan hanya mengakibatkan fitnah dan permusuhan, tetapi juga dapat menimbulkan penyakit batin yang sangat buruk, sekali gus menjauhkan diri dari syurga yang menjadi idaman setiap mukmin.
 Oleh itu sikap yang paling bijak ialah berusaha untuk memperbaiki diri, sekali gus menjadi orang yang pemaaf. Sebab itulah yang selalu dilakukan Rasulullah SAW sepanjang perjalanan hidup baginda. Sedangkan hidup Nabi adalah contoh bagi setiap mukmin.
 Tetapi malangnya di kalangan umat Islam termasuklah mereka yang bergelar pemimpin mengaku kelemahan sendiri seolah-olah adalah satu dosa. Oleh itu mereka lebih suka menuding jari kepada orang lain termasuklah mencerca sesama Islam apatah lagi kalau sesuatu kumpulan itu dilihat sebagai musuh politik mereka.
 Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bersabda, ‘‘Orang Islam yang suka mencerca itu ibarat memakan daging saudaranya sendiri.’’
 Dalam riwayat lain, Nabi bersabda bahawa seorang muslim adalah yang menyelamatkan sesama muslim dari lidah dan tangannya.
 perbuatan
 Di zaman Nabi, pernah ada sekelompok orang yang digerakkan kaum munafik telah mencerca sahabat Rasul. Baginda Rasulullah lalu bersabda, ‘‘Jangan kalian mencerca para sahabatku. Seandainya kalian
membelanjakan harta sebesar Gunung Uhud, nescaya amal kalian tidak akan dapat mengalahkan para sahabatku.”
 Sebenarnya pokok pangkal perbuatan itu ialah bergantung kepada lidah. Biarpun dia seorang pemimpin, dia seharusnya menjaga lidah apabila bercakap dan bukannya mengikut hati serta perasaannya sahaja.
 Diriwayatkan bahawa Lukman al-Hakim, pernah disuruh majikannya membeli daging yang baik untuk menjamu para tamunya. Lukman membeli hati dan lidah. Majikannya berasa marah dengan tindakan Lukman dan bertanya kepadanya kenapa dia membeli hati dan lidah.
 ‘‘Tidakkah ini daging yang baik seperti tuan pesan. Hati merupakan sumber amal perbuatan yang baik, sedang lidah dapat menjalin persaudaraan. Dari keduanya orang dapat membangun kebaikan,” jawab Lukman.
 Pada satu hari majikannya menyuruh Lukman membeli daging yang busuk. Tujuan majikannya ialah untuk mengetahui apa pula jenis daging yang akan dibeli oleh Lukman.
 Apabila pulang Lukman sekali lagi membeli hati dan lidah. Tindakan Lukman mengejutkan majikannya dan bertanya kenapa dia berbuat demikian sedangkan yang disuruh dibeli ialah daging yang busuk.
 ‘‘Benar tuan, ini daging terbusuk. Hati adalah daging yang paling baik dan sekali gus juga paling busuk. Ia sumber kedengkian dan rasa bongkak. Lidah merupakan ‘alat’ untuk melaknat, mencerca dan mencaci orang lain.”
 Justeru adalah jelas lidah merupakan cermin hati seseorang. Bila hati bersih, lidah nescaya tidak akan bertutur kecuali yang baik. Sebaliknya bila hati ‘tercemar’, maka lidah akan mudah berkata-kata yang buruk.
 Oleh itu dalam kita memelihara persaudaraan Islam maka kita perlulah menjaga lidah daripada mencaci dan memaki hamun sesama Islam. Tidak kisahlah apapun perbezaan antara kita namun persaudaraan
Islam tetap harus menjadi teras utama.
Untuk menggambarkan dalamnya persaudaraan Islam (ukhuwah Islamiah), Allah SWT menggunakan kata ikhwah, yang bererti “saudara kandung’' .
 Ini berbeza dengan ikhwan, yang ertinya “berteman’', sebagaimana digunakan Allah dalam surat Ali ‘Imran ayat 103, untuk menggambarkan bagaimana suku-suku Arab pada zaman jahiliah yang bermusuh-musuhan, kemudian bersatu setelah memeluk Islam. Jadi, setelah berada dalam satu agama, setiap Muslim adalah teman bagi yang lain. Dan setelah keIslaman itu meningkat, setiap Muslim seharusnya dapat memandang Muslim lain sebagai saudara kandungnya.
 Ukhuwah Islamiah dapat diwujudkan seperti disabdakan Rasulullah SAW yang antara lain dalam bentuk bahawa seorang Muslim harus dapat mencintai Muslim lain sebagaimana ia mencintai diri sendiri; bahawa seorang Muslim harus dapat merasakan kesusahan yang dialami Muslim lain.
 memaafkan
 Di dalam al Quran, Allah SWT meminta agar seorang Muslim tidak memusuhi, mencaci, buruk sangka kepada Muslim lain. Apa yang perlu dipertingkatkan ialah saling memaafkan, mendoakan dan melindungi.
 Oleh itu, sebagai umat Islam kita seharusnya memegang teguh kepada persaudaraan Islam seperti mana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud;
 ‘‘Berpegang teguh kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (semasa kekufuran kamu semasa jahilian), lalu Allah selamatkan dari itu nerakat itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangannya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah.’’
 Semoga di sepanjang jalan hidup di alam fana ini, kita akan sentiasa memelihara ukhuwah Islamiah biar siapapun kita.

21 April 2012

Tanda-Tanda Kecil Kiamat


 Antara TANDA-TANDA KIAMAT KECIL berdasarkan hadis

1. Penaklukan Baitulmuqaddis.

Dari Auf b. Malik r.a., katanya, “Rasulullah s. a. w. telah bersabda:”Aku menghitung enam perkara menjelang hari kiamat.”Baginda menyebutkan salah satu di antaranya, iaitu penaklukan Baitulmuqaddis.”-Sahih Bukhari

2. Zina bermaharajalela.
“Dan tinggallah manusia-manusia yang buruk, yang seenaknya melakukan persetubuhan seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang.” – Sahih Muslim

3. Bermaharajalela alat muzik.
“Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan dan perubahan muka.” Ada yang bertanya kepada Rasulullah; “Wahai Rasulullah bila hal ini terjadi?” Baginda menjawab;”Apabila telah bermaharajalela bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi-penyanyi wanita” – Ibnu Majah

4. Menghias masjid dan membanggakannya.
“Di antara tanda-tanda telah dekatnya kiamat ialah manusia bermegah-megahan dalam mendirikan masjid” – Riwayat Nasai

5. Munculnya kekejian, memutuskan silaturrahim dan hubungan dengan tetangga tidak baik.
“Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan sikap yang buruk dalam tetangga.” – Riwayat Ahmad dan Hakim

6. Ramai orang soleh meninggal dunia.
“Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang-orang yang baik dan ahli agama di muka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang-orang yang hina dan buruk yang tidak mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran -Riwayat Ahmad

7. Orang hina mendapat kedudukan terhormat.
“Di antara tanda-tanda semakin dekatnya kiamat ialah dunia akan dikuasai oleh Luka’ bin Luka’ (orang yang bodoh dan hina). Maka orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh dua orang mulia” -Riwayat Thabrani

8. Mengucapkan salam kepada orang yang dikenalnya sahaja.
“Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yang dikenalinya saja.” -Riwayat Ahmad

9. Banyak wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a.
“Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah akan muncul pakaian-pakaian wanita dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang.”

10. Bulan sabit kelihatan besar.
“Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah menggelembung (membesarnya) bulan sabit.”
- Riwayat Thabrani

11. Banyak dusta dan tidak tepat dalam menyampaikan berita.
“Pada akhir zaman akan muncul pembohong-pembohong besar yang datang kepadamu dengan membawa berita-berita yang belum pernah kamu dengar dan belum pernah didengar oleh bapa-bapa kamu sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka tidak menyesatkanmu dan memfitnahmu”- Sahih Muslim

12. Banyak saksi palsu dan menyimpan kesaksian yang benar.
“Sesungguhnya sebelum datangnya hari kiamat akan banyak kesaksian palsu dan disembunyikan kesaksian yang benar”- Riwayat Ahmad

13. Negara Arab menjadi padang rumput dan sungai.
“Tidak akan datang hari kiamat sehingga negeri Arab kembali menjadi padang rumput dan sungai-sungai.”
- Sahih Muslim

Wahai saudara-saudaraku, marilah berfikir sejenak… yang mana sudah ada petanda pada hari ini? Ya Rabbi, ampunilah mereka yang beriman denganMu, moga hambamu ini bukan dikalangan manusia yang dimurkai.