Assalamualaikum...

جزاك الله خيرا

~ Tarikh ~

27 September 2011

Perlu Ke Alasan Untuk Buat Dosa ?

“Aku dah usaha tinggal dah, tapi tak mampu. Nak buat macam mana”
“Tak boleh bai, aku ni lemah dengan godaan. Nafsu kuat sangat. Tu yang tak boleh tinggal benda-benda ni”
“Allah dah takdirkan aku camni. Aku nak buat camna. Dah tertulis di lauh mahfuz aku ni buat maksiat-maksiat ni. Takdir aku memang begini”

Itu antara alasan yang sering didengari. Mungkin kita tidak pernah mendengarnya daripada mulut orang lain. Tetapi kita mendengarnya daripada hati kita sendiri. Ya. Kita memberikan alasan, untuk membenarkan kita melakukan dosa, keingkaran kepada Allah SWT.
Kita tunjukkan pada ketidak mampuan kita, kita katakan ia adalah punca godaan yang datang, malah adakalanya kita meletakkan perkara ini atas takdir Allah dan menyatakan ini semua susunan-Nya. Inilah alasan-alasan kita. Alasan untuk berdosa.
Benarkah ia satu alasan yang melepaskan kita dari azab seksa-Nya?
Kita Yang Memilih Untuk Lemah
Dalam mengharungi kehidupan, sememangnya manusia akan bertemu dengan cabaran dan dugaan. Halangan demi halangan akan wujud untuk menguji insan.
Ujian ini adalah untuk melihat dari kalangan manusia ini, yang manakah yang terbaik amalannya, yang manakah yang layak menerima rahmat Allah dan memasuki syurga-Nya.
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);” – Surah Al-Mulk ayat 2. Maka sudah menjadi lumrah bahawa dalam kehidupan ada ujian.
.
Justeru apakah alasan tidak mampu?
Hakikatnya, semua manusia mampu melepasi ujian yang Allah sediakan. Allah SWT telah berjanji bahawa, setiap ujian yang ditimpakan ke atas diri manusia itu, berada dalam lingkungan kemampuannya.
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” – Surah Al-Baqarah ayat 286.
.
Jadi, bagaimanakah boleh tidak mampu?
Jawapannya adalah, kita yang memilih untuk lemah. Kita yang memilih untuk tidak mengharungi cabaran dengan bersungguh-sungguh. Kita memilih untuk tidak berusaha hingga ke akhirnya.
Kita memilih untuk tunduk dan menerima kegagalan, lantas redha dengan kemaksiatan yang kita lakukan.
Perhatikan betul-betul di dalam jiwa kita. Benarkah kita tidak mampu? Atau kita yang memilih untuk tunduk kepada kerosakan?
.
Takdir Allah lah Yang Silap?
Menuding kepada Allah dan menyalahkan-Nya atas dosa-dosa yang kita lakukan adalah satu jenayah yang besar. Itu tandanya keimanan di dalam jiwa sudah terkoyak dan rosak.
“Kenapa Allah benarkan aku buat dosa?” Kita akan bertanya-tanya.
Tetapi siapa yang memilih untuk melakukan dosa? Siapa yang bergerak untuk melakukan dosa? Siapakah? Kita.
Ketahuilah di dalam kehidupan ini, Allah berikan manusia satu perkara yang besar bernama IKHTIAR, pilihan, untuk manusia memilih sendiri antara yang buruk atau yang baik. Maka terletak di tangan kita untuk bergerak ke arah mana.
Dan setiap arah yang kita ambil, kita perlu sedar, ada konsikuensinya.
“Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)” – Surah Al-Baqarah ayat 256.
Di zaman Umar Al-Khattab RA, ada seorang lelaki mencuri. Bila ditanya mengapa dia mencuri, lelaki itu menjawab: “Aku mencari kerana, Allah telah mentakdirkan aku mencuri”
Saidina Umar menyuruh lelaki itu dipotong tangannya, dan disebat 40 kali.
Sahabat-sahabat terkejut dengan hukuman itu. “Wahai Umar, hukum untuk mencuri hanyalah potong tangan. Mengapa ditambah dengan 40 sebatan?”
“Potong tangan untuk mencuri, dan 40 sebatan adalah untuk tuduhannya ke atas Allah SWT”
Ini adalah dalil yang jelas bahawa, kesalahan kita adalah tanggungjawab kita sendiri.
Lelaki itu, boleh sahaja memilih untuk tidak mencuri. Allah memberikannya ikhtiar. Tetapi dia memilih untuk ingkar kepada Allah SWT dan melakukan kejahatan dengan sengaja.
Dan siapa yang mengetahui takdir Allah? Tiada siapa mengetahui.
Justeru, bagaimana alasan bahawa: “Allah dah takdirkan aku macam gini, jadi orang jahat” itu boleh dipakai?
.
Pengajaran Pembunuh 100 Orang
Saya suka dengan kisah pembunuh 100 orang. Dia telah membunuh 99 orang. Kemudian dia hendak bertaubat. Lihatlah. Dia telah membunuh 99 orang. Tidak pula dia menyalahkan Allah SWT atas tindakannya membunuh 99 orang itu. Bahkan, dia bergerak pula hendak bertaubat kepada Allah SWT. Lihat usahanya itu. Lihat kehendaknya itu.
Sampai kepada seorang alim, alim itu berkata bahawa, orang sepertinya tiada harapan. Oleh kerana marah, dia membunuh pula orang itu, mencukupkan pembunuhannya kepada 100. Tetapi selepas itu, dia mencari lagi jalan untuk bertaubat.
Lihat. Walaupun seorang alim menyatakan kepadanya bahawa dia telah tiada harapan, dia tetap berusaha. Lihatlah kepada dia ini. Adakah dia berkata: “Memang Allah dah takdirkan aku begini”???
Akhirnya, dia bertemu dengan seorang lagi alim. Dan orang alim itu berkata bahawa lelaki itu perlu meninggalkan suasana yang tidak membina. Maka ditunjukkan satu perkampungan yang boleh memberikannya suasana untuk bertaubat.
Maka bergeraklah lelaki itu. Tetapi di tengah perjalanan, dia meninggal dunia. Meninggal dunai tanpa sempat bertaubat. Tetapi dalam keadaan sedang berusaha untuk bertaubat.
Dan dia dimasukkan ke dalam syurga. Kisah ini boleh didapati dalam Sohih Muslim dalam bab Taubat. Lihatlah bagaimana Allah membalas usahanya. Dia tidak sempat pun bertaubat. Tetapi dia tidak berputus asa untuk menebus dosanya. Dia tidak berputus asa mencari jalan keluar.
Dia berusaha dan berusaha tanpa menuding jari kepada itu dan ini. Dia tidak pula memberikan alasan bahawa takdir tidak menyebelahinya dan dirinya sudah ketagih, tidak berkemampuan dan sebagainya.
Tetapi dia berusaha. Dia menggagahkan dirinya. Dia berusaha merapat kepada Allah SWT. Dia tidak memilih untuk lemah. Dia tidak memilih untuk semakin jauh daripada Allah. Lihatlah dia.
.
Mengapa memilih jalan sedemikian? Mengapa tidak berusaha sehingga habis hayat?
Mengapa tidak bergerak mendekati Allah dengan sepenuh kekuatan? Soalan-soalan ini perlu dilontarkan kepada dalam diri kita.
Perhatikan diri kita. Yang bersalah hakikatnya adalah kita. Kita yang memilih jalan keburukan. Dan siapa kata kita tidak boleh keluar? Allah kah kata? Adakah kita mengetahui? Hakikatnya, kita yang memilih untuk terus kekal dalam kerosakan. Justeru, siapa yang memilih untuk keluar?

Sumber Artikel : - Mediaserius.Com

20 September 2011

Rezeki Ditangan Allah


 Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi 
Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu; lantas Nabi
Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas
batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus. Nabi
Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut: " Wahai semut apakah engkau
yakin ada makanan cukup untuk kamu".
Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di
tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang
tandus ini ada rezeki untuk ku". Lantas Nabi Allah Sulaiman pun
bertanya: " Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah ya ng
engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"
Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan". Nabi
Allah Sulaiman pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji
gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh
tolong".. Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat
semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas; kemudian Nabi ambil gandum
sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi
tinggal semut didalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan.
Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi
hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman
menemplak semut: "Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu
kata kamu makan sebiji gandum sebul an, ini sudah sebulan tapi kamu
makan setengah".
Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada
di atas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti
sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki
itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku.
Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku
bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah
aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu
lupa". Itulah Iman Semut!!
IMAN MANUSIA??
Di zaman Imam Suffian, ada seorang hamba Allah yang kerjanya men
gorek kubur orang mati. Kerja korek kubur orang mati bukan kerja
orang ganjil. Bila ada orang mati, mayat terpaksa ditanam, oleh itu
kubur perlu digali dulu. Tetapi yang ganjil mengenai hamba Allah ini
ialah dia tidak gali kubur untuk tanam mayat.
Sebaliknya apabila orang mati sudah ditanam, waris sudah lama balik
kerumah dan Munkar Nakir sudah menyoal, barulah penggali ini datang
ke kubur untuk korek balik.
Dia nak tengok macam mana rupa mayat setelah di INTERVIEW oleh Munkar
Nakir. Dia korek 1 kubur, 2 kubur, 3 kubur, 10 kubur, 50 kubur sampai
100 kubur. Lepas itu, penggali pergi kepada Imam Suffian dan bertanya
kepadanya: "Ya Imam, kenapakah daripada 100kubur orang Islam yang aku
gali, dua sahaja yang mana mayat di dalamnya masih berhadap kiblat.
Yang 98 lagi sudah beralih ke belakang?".
Jawab Imam Suffian:" Diakhir zaman hanya 2 dari 100 umat Islam yang
percaya rezeki itu di tangan Allah. 98 orang lagi tidak percaya
bahawa rezeki di tangan Tuhan". Itulah sebabnya apabila umat Islam
tertekan dengan SOGOKAN duit yang banyak, biasanya, iman dia akan
beralih. Nyatalah iman semut lebih kuat dari iman manusia.
Kata Saidina Ali kepada Kamil: " ILMU ITU LEBIH BAIK DARIPADA HARTA,
ILMU MENJAGA ENGKAU DAN ENGKAU MENJAGA HARTA, ILMU MENJADI HAKIM,
HARTA DIHAKIMKAN, HARTA BERKURANGAN APABILA DIBELANJAKAN DAN ILMU
BERTAMBAH
APABILA DIBELANJAKAN". 

22 August 2011

Peluang 'Last Minute', Lailatul Qadar & Kita


Pendekatan Last Minute & Sujud Akhir
"Orang kita memang suka benda-benda 'last minute' ni" kata seorang rakan saya
"Study last minute"
"Buat kerja suka dan lebih bersemangat bila last minute"
"Solat last minute, sujud pun nak tunggu last minute"
Sehingga timbul kefahaman yang meluas di kalangan masyarakat bahawa sujud terakhir dalam solat adalah waktu yang paling maqbul doa.
Setakat pencarian saya dalam ensaiklopedia gabungan puluh ribuan kitab Fiqh yang muktabar, Tafsir dan Hadith, tidak ada sebarang bukti dari Al-Quran atau hadith nabi atau yang menyatakan doa dalam sujud terakhir adalah yang paling maqbul.
Nabi hanya beritahu bahawa ketika sujud doa adalah maqbul, tetapi tiada dikhaskan sebagai 'Keistimewaan Sujud Terakhir' . Jika ada yang tahu, haraplah memaklumkan sumber sohihnya.
Apa yang ada adalah sabda baginda Nabi s.a.w ketika menyebut :
وَأَمَّا السُّجُودُ فَاجْتَهِدُوا في الدُّعَاءِ   فَقَمِنٌ أَنْ يُسْتَجَابَ لَكُمْ 
Ertinya : Dan adapun sujud, maka berusahalah memperbanyakkan doa kerana ia amat hampir dan boleh mendapat kemustajaban bagimu" ( Riwayat Muslim, 1/348)
Jika melihat huraian dan syarahan hadis ini oleh Imam An-Nawawi dan Ibn Hajar, kita akan mengerti bahawa sujud yang maqbul itu adalah semua jenis sujud terutamanya dalam solat fardhu. Tiada sebarang pengkhususan kepada sujud akhir.
Wallahu 'alam, tiada juga dijumpai dalam kitab Fiqh yang muktabar akan cadangan sujud akhir ini. Jika benar-benar tiada, justeru ia mungkin pengaruh tabiat 'last minute' kot..sehingga terbawa-bawa dalam ibadah.
Memang benar tidak semua jenis pendekatan 'last minute' itu tidak tepat, salah, terkeji dan tidak berasas. Dalam sesetengah keadaan ia terpaksa dilakukan, tapi yang dirisaukan adalah kualitinya mungkin boleh tergugat. 
Kini, kita ada peluang kita untuk meraih ganjaran dan hasil Ramadhan semakin sampai ke minit terakhir. Bagi memastikan ramai yang berjaya, sayangnya Allah s.w.t kepada kita yang lemah ini, diberinya lagi peluang minit-minit terakhir ini dengan sesuatu yang lebih istimewa. Ia bertujuan memberikan motivasi kepada kita agar mampu menjadi insan bertaqwa serta dengan segera membina tembok iman yang kukuh sebelum keluar dari bulan mulia Ramadhan.
Peluang ibadat dalam 10 malam terakhir Ramadhan telah sedai diketahui ramai. Pengkhususan berkenaan kehebatan dan tawarannya juga bukan lagi ganjil dari minda umat Islam sedunia.


Kehebatan Malam Al-Qadr 
Dalam tulisan ringkas ini, cuba sama-sama kita hayati beberapa keistimewaan Laylatul Qadar seperti berikut :-
1) Malam berkat yang di turunkan padanya Al-Quran (secara sepenuhnya dari Lawh Mahfuz ke Baytil Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi SAW secara berperingkat) ;
Justeru ia disifatkan sebagai malam penuh berkat dalam ayat 3 surah ad-Dukhaan. Pandangan ini adalah sohih dari Ibn Abbas, Qatadah, Sai'd Ibn Jubayr, ‘Ikrimah, Mujahid dan ramai lagi.  (Tafsir Al-Baidawi, 5/157 ; Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126 )
2) Di tuliskan pada malam tersebut "qadar" atau ketetapan bagi hidup, mati, gembira, rezeki, sihat, sakit dan apa jua berkaitan qadar manusia dan destinasi mereka pada tahun itu.
Ini diambil dari firman Allah s.w.t :-
فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ
Ertinya : Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Yang mengutus rasul-rasul ( Ad-Dukhan : 4-5)
Imam At-Tabari menyebut bahawa pada malam itu, diputuskan hal ajalnya seseorang,  rezekinya, kejadiannya. Malah di malam tersebut juga, ditentukan siapa yang berkahwin dengan siapa, nama siapa yang termasuk dalam senarai kematian pada tahun berikutnya, apakah musibah yang akan menimpa dan lain-lain. Ia juga yang dihuraikan oleh Imam Qatadah, Mujahid dan Al-Hassan(Tafsir At-Tabari, 25/108 )
Imam Al-Qurtubi mencatatkan

Ertinya : Berkata Ibn Abbas, Allah s.w.t menghakimi atau menentukan urusan untuk dunia apabila tibanya Laylatul Qadar, dari segala urusan tentang kehidupan (hambanya) atau kematian atau rezeki  (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126)
Demikian juga yang difahami dari apa yang disebut oleh Ibn Abbas. (Tafsir Ibn Kathir, 137/138). Imam An-Nawawi ada menghuraikan maksud panjang bagi hal ini. (Syarah Sohih Muslim, 8/57). Menurut pandangan yang lain qadarjuga membawa bermaksud mulia atau agung.
Adakah kita sudah BERSEDIA untuk meninggal dunia hari ini atau sebentar lagi?
Adakah merasa takut untuk menunggu kehadirannya?
Saya selalu cuba menghadirkan perasaan dan persoalan ini dalam minda saya, terutamanya ketika memandu kereta dan menaiki kapal terbang. Terbayang tayar meletup dan kereta terhumban, atau kapal terbang rosak dan menunggu maut hadir sebagaimana yang saya kerap dan suka saya lihat perbincangan mengenainya di dalam rancangan 'Air Crash' terbitan National Geogharphic Channel.
Jika belum merasa sedia, maka apakah sebabnya? Adakah umur yag diberikan belum mencukupi?, atau aqal belum sempurna berfikir untuk menyiapkan persediaan.? Bukankah kita merupakan insan normal yang punyai aqal sihat, malah kita amat marah digelar 'bodoh' oleh orang lain.
Lantas, apakah lagi alasan yang ingin kita sebutkan? Adakah kerana terlalu sibuk mengejar dunia dan leka dengan kenikmatan sementaranya, sehingga tiada masa memikirkan ibadah dan mengetahui perkara halal serta haram.
Justeru, malam Al-Qadr boleh menjadi satu peluang dan ruang untuk berdoa memanjangkan umur dalam ibadah, amal soleh dan rezeki yang baik. Berusahalah.
Sama-sama kita hidupkan malam-malam akhir Ramadhan dengan dengan beribadat sehabis mungkin bagi memastikan yang terbaik buat destinasi hidup kita.
Hanya beberapa hari sahaja untuk bersengkang mata dan melawan nafsu tidur dan rehat. Jika kita punyai cuti yang agak panjang sebelum raya, habiskan ia dengan bacaan Al-Quran dan fahami ertinya. Nafsu 'shopping' dan rehat pasti akan menganggu. Lawani ia, hanya beberapa hari sahaja, paling panjang 10 hari sahaja.
3) Malam ini terlebih baik dari seribu bulan untuk beribadat.
Perlu difahami bahawa para ulama berbeza pandangan dalam pengertian seribu bulan kepada pelbagai takwilan. Cuma Imam At-Tabari selepas membawakan hampir semua pendapat-pendapat semua pihak ia mentarjihkan dengan katanya :-
وأشبه الأقوال في ذلك بظاهر التنزيل قول من قال عمل في ليلة القدر خير من عمل ألف شهر ليس فيها ليلة القدر
Ertinya : Pendapat yang paling tepat dari zahir teks nas yang diturunkan adalah pendapat yang mengatakan erti Seribu bulan adalah "beramal di laylatu Qadr sama dengan amalan seribu bulan yang tiadanya lailatul Qadr ( selain bulan Ramdhan)  ( At-Tabari, 30/259)
Imam Malik dalam al-Muwatta' membawakan satu hadis Nabi s.a.w yang memberi makna seribu bulan itu adalah gandaan sebagai ganti kerana umur umat zaman ini yang pendek berbanding zaman sebelum Nabi Muhammad SAW yang amat panjang seperti Nabi Nuh as. (Al-Muwatta, no 698, 1/321 ; Al-Jami' Li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 20/133 ; Syeikh Atiyyah Saqar, Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, dengan pindaan).
4) Pada malam itu, turunnya para Malaikat dan Ruh (Jibrail as).
Hal ini disebutkan di dalam al-Quran dari surah al-Qadr. Manakala, dalam sebuah hadith disebutkan bahawa pada malam tersebut, malaikat akan turun dan berjalan kepada seluruh individu yang sedang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat, berzikir, serta memberi salam kepada mereka dan mengaminkan doa mereka maka Allah akan mengampunkan mereka kecuali empat kumpulan : Peminum arak, penderhaka ibu bapa, pemutus siltarurrahmi dan individu yang sedang bermusuhan.
5) Malam itu juga disebutkan sebagai malam yang sejahtera.
Hinggakan Syaitan juga tidak mampu untuk melakukan kejahatan dalamnya. (Tafsir Ibn Kathir, 4/531 ; Al-Qurtubi, 20/134 ) . Sejahtera dan keberkatan ini akan berterusan sehingga naik fajar dan bukannya pada saat tertentu sahaja. Hal ini juga di sebutkan dari firman Allah dalam surah al-Qadr.
6) Diampunkan dosa terdahulu bagi sesiapa yang menghidupkannya dengan iman, ikhlas dan mengharap redha Allah;
Ia berdasarkan hadith sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim. (Fath al-Bari, 4/251)
Hidup kita adalah pendek, panjangkan ia dengan amal jariah dan amalan soleh melebihi seribu bulan.
Sekian

Artikel Dari
Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

19 August 2011

Petua mencari Malam Lailatul Qadar




(Petikan daripada Kitab Jauhar Al-Mauhub -Muka Surat 66 & 67 )

Assalammu'alaikum wbt.

Awal Ramadan tahun ini (1 Ramadan 1432H)  jatuh pada hari Isnin (1-Ogos-2011) maka mengikut;

1. Pendapat pertama (Imam Nawawi) – malam Lailatul Qadar insya'Allah akan jatuh pada malam yang ke-29 (hari Ahad, 28-Ogos-2011 malam Isnin)

2. Pendapat kedua (Sheikh Wahab) - malam Lailatul Qadar insya'Allah jatuh pada malam yang ke-21 (hari Sabtu, 20-Ogos-2011 malam Ahad)

Berikut adalah petikan dari kitab yang tersebut di atas (lampiran adalah dari kitab asal);

Dan adalah malam Lailatul Qadar itu pada Imam Syafie Radiyallahu’anhu tersimpan ia di dalam sepuluh malam yang akhir daripada bulan Ramadan tetapi pada malam “gasal” (ganjil) itu terlebih harap akan dia dan terlebih diharap daripada segala malam yang “gasal” (ganjil) itu malam yang dua puluh satu dan malam yang dua puluh tiga.

Dan yang “rajihnya” bahawasanya malam Lailatul Qadar itu melazimi ia akan malam yang tertentu maka tiada terpindah ia daripada seperti barang yang diriwayatkan daripada Abas bahawasanya malam Lailatul Qadar itu malam yang dua puluh tujuh kerana diambil daripada firman Allah ta’ala “Inna annzalnahu filailatul qdr” hingga “Salam mun hi ya” … maka bahawasanya kalimah “ hi ya’ itu dua puluh tujuh daripada segala kalimah surah ini dan iaitu kinayah daripada malam lailatul qadar dan atas perkataan inilah diamalkan pada segala masa, segala negeri dan iaitu mazhab kebbanyakan Ahli al-‘Ilmi.

Dan kata qil; “Bahawasanya malam lailatul qadar itu terpindah ia tiada tetap ia pada malam yang tertentu maka terkadang ia pada dua puluh satu dan terkadang ada ia pada malam dua puluh lima demikianlah dan atas perkataan ini menjalani dua ahli Sufi dan menyata mereka itu akan “dhabit” dan kaedah bagi yang demikian itu dan iaitu;

- jika adalah awal puasa pada hari Jumaat maka malam lailatul qadar malam dua puluh sembilan
- dan jika awal puasa pada hari Sabtu maka itu malam dua puluh satu
- dan jika awal puasa pada hari Ahad maka iaitu malam dua puluh tujuh
- dan jika awal puasa pada hari Isnin maka iaitu malam dua puluh sembilan
- dan jika awal puasa pada hari Selasa maka iaitu malam dua puluh lima
- dan jika awal puasa pada hari Rabu maka iaitu malam dua puluh tujuh
- dan jika awal puasa pada hari Khamis maka malam lailatul qadar malam dua puluh satu

Dan telah memilih Imam Nawawi didalam  Majmu’ dan Fatawa akan qaul dengan berpindah dan katanya di dalam Raudah dan iaitu yang kuat. (Bajuri)

Dan tersebut di dalam Hasyiyah Fathul Wahab, maka;

- jika awal puasa pada hari Ahad atau hari Rabu maka malam lailatul qadar malam dua puluh sembilan
- dan jika awal puasa pada hari Isnin maka iaitu malam dua puluh satu
- dan jika awal puasa hari Selasa atau Jumaat maka iaitu malam dua puluh tujuh
- dan jika awal puasa pada hari Khamis maka iaitu malam dua puluh lima
- dan jika awal puasa hari Sabtu maka iaitu malam dua puluh tiga malam lailatul qadar

Kata Abu Al-Husan: “Dan pada masa sampai aku akan tahun lagi-lagi tiada luput akan daku malam Lailatul Qadar dengan ini kaedah yang tersebut Barmawi dan Qalyubi”


Wallahua'lam

07 August 2011

Kelebihan Solat Sunat Tarawih Di Bulan Ramadhan

1. Kelebihan Solat Tarawih Malam Pertama
Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.
2. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kedua
Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.
3. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketiga
Para malaikat di bawah ‘Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.
4. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempat
Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
5. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelima
Allah SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjidil Madinah dan Masjidil Aqsa.
6. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenam
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.
7. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuh
Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir’aun dan Hamman.
8. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapan
Allah S.W.T mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.
9. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilan
Allah S.W.T akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad s.a.w.
10. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesepuluh
Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.
11. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesebelas
Ia meninggal dunia di dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.
12. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduabelas
Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.
13. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigabelas
Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.
14. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempatbelas
Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih serta Allah S.W.T. tidak akan menyesatkan mereka.
15. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelimabelas
Semua malaikat yang memikul ‘Arasy dan Kursi akan berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.
16. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenambelas
Allah S.W.T. menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.
17. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuhbelas
Allah S.W.T menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.
18. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapanbelas
Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).
19. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilanbelas
Allah S.W.T akan meninggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.
20. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh
Allah S.W.T mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.
21. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh satu
Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.
22. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh dua
Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut.
23. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tiga
Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.
24. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh empat
Allah S.W.T akan membuka peluang untuk dua puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.
25. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lima
Allah S.W.T akan mengangkat seksa kubur darinya.
26. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh enam
Allah S.W.T akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.
27. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tujuh
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.
28. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lapan
Allah S.W.T akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat.
29. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh sembilan
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.
30. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigapuluh
Allah S.W.T akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kautsar