Assalamualaikum...

جزاك الله خيرا

~ Tarikh ~

19 December 2011

D Manakah Solat kita ?


Dalam era membaiki diri ini, kita nilaikan sembahyang kita, nanti akan terjawap Kenapa kita tidak dibantu, dan ini juga gambaran secara keseluruhannya, mengapa umat islam terbiar dan tiada pembela dan umat islam kini tidak lagi menjadi umat yang agung seperti dulu.

Golongan Pertama
Kita boleh lihat hari ini sudah ramai umat islam yang tidak sembahyang, bahkan ramai juga yang tidak tahu hendak sembahyang; mereka telah jatuh kafir. Imam Malik berkata bahawa jatuh kafir kalau tidak sembahyang tanpa sebab. Imam Syafie kata jatuh fasik (pun masuk neraka juga) kalau ia masih yakin sembahyang itu fardu.

Golongan Kedua
Orang yang mengerjakan sembahyang secara zahir sahaja, bacaan pun masih tak betul, taklid buta, main ikut-ikut orang saja. Belajar sembahyang maupun secara rasmi atau tak rasmi tak ada. Ilmu tentang sembahyang tiada. Golongan ini tertolak bahkan berdosa besar dan hidup dalam keadaan derhaka kepada Allah Taala.

Golongan Ketiga
Orang yang mengerjakan sembahyang, bahkan tahu ilmu mengenai sembahyang, tetapi tak boleh lawan nafsu terhadap tarikan dunia yang kuat. Jadi mereka ini sekejap sembahyang, sekejap tidak. Kalau ada masa dan mood baik; ia sembahyang, kalau sibuk dan terkocoh kacah, ada program kenduri, pesta .a, berziarah, bermusafir, letih dan penat, maka ia tak sembahyang. Orang ini jatuh fasik.

Golongan Keempat
Orang yang sembahyang, kalaupun ilmunya tepat, fasih bacaannya, tetapi tak khusyuk kalau diperiksa satu persatu bacaannya, lafaznya banyak yang dia tak faham, fikirannya tak terpusat atau tak tertumpu sepenuhnya pada sembahyang yang dilaksanakannya itu disebabkan tak faham apa yang dia baca. Cuma main hafal saja. Jadi fikirannya terus tertumpu pada dunia dan alam sekelilingnya. Fikirannya mengembara dalam sembahyang, orang ini lalai dalam sembahyang. Neraka wail bagi orang jenis ini.

Golongan Kelima
Golongan yang mengerjakan sembahyang cukup lima waktu, tepat ilmunya, faham setiap bacaan sembahyang, fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tapi tak dihayati maksud dalam sembahyang itu. Fikirannya masih melayang mengingatkan perkara dunia, dek kerana faham saja tetapi tidak dihayati. Golongan ini dikategorikan sebagai sembahyang awamul muslimin.

Golongan Keenam
Golongan ini baik sedikit dari golongan yang ke lima tadi, tetapi main tarik tali di dalam sembahyangnya, sekali sekala khusyuk, sekali sekala lalai pula. Bila teringat sesuatu di dalam sembahyangnya, teruslah terbawa-bawa, berkhayal dan seterusnya. Bila teringat Allah secara tiba- tiba, maka insaf dan sedarlah semula, cuba dibawa hatinya serta fikirannya untuk menghayati setiap kalimat dan bacaan di dalam sembahyangnya. Begitulah sehingga selesai sembahyangnya. Ia merintih dan tak mahu jadi begitu, tapi terjadi jua. Golongan ini adalah golongan yang lemah jiwa. Nafsunya bertahap mulhamah (ertinya menyesal akan kelalaiannya dan cuba baiki semula, tapi masih tak terdaya kerana tiada kekuatan jiwa). Golongan ini terserah kepada Allah. Yang sedar dan khusyuk itu mudah-mudahan diterima oleh Allah, mana yang lalai itu moga-moga Allah ampunkan dosanya, namun tiada pahala nilai sembahyang itu. Ertinya sembahyangnya tiada member kesan apa apa. Allah belum lagi cinta akan orang jenis ini.

Golongan Ketujuh
Golongan yang mengerjakan sembahyangyang tepat ilmunya, faham secara langsung bacaan dan setiap lafaz di dalam sembahyangnya. Hati dan fikirannya tidak terbawa-bawa dengan keadaan sekelilingnya sehingga pekerjaan atau apa pun yang dilakukan atau yang difikirkan diluar sembahyang itu tidak mempengaruhi sembahyangnya. Walaupun ia memiliki harta dunia, menjalankan kewajiban dan tugas keduniaan seperti perniagaan dan sebagainya namun tidak mempengaruhi sembahyangnya. Hatinya masih dapat memuja Allah di dalam sembahyangnya. Golongan ini disebut orang-orang soleh atau golongan abrar ataupun ashabul yamin.

Golongan Kelapan
Golongan ini seperti juga golongan tujuh tetapi ia mempunyai kelebihan sedikit iaitu bukan saja faham, dan tak mengingati dunia di dalam sembahyangnya, malahan dia dapat menghayati setiap makna bacaan sembahyangnya itu, pada setiap kalimah bacaan fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tasbihnya pada setiap sujudnya dan setiap gerak gerinya dirasai dan dihayati sepenuhnya. Tak teringat langsung dengan dunia walaupun sedikit. Tapi namun ia masih tersedar dengan alam sekelilingnya. Pemujaan terhadap Allah dapat dirasai pada gerak dalam sembahyangnya. Inilah golongan yang dinamakan golongan Mukkarrabin (Yang hampir dengan Allah).

Golongan Kesembilan
Golongan ini adalah golongan yang tertinggi dari seluruh golongan tadi. Iaitu bukan saja ibadah sembahyang itu dijiwai di dalam sembahyang malahan ia dapat mempengaruhi di luar sembahyang. Kalau ia bermasalah langsung ia sembahyang, kerana ia yakin sembahyang punca penyelesai segala masalah. Ia telah fana dengan sembahyang.

Sembahyang telah menjadi penyejuk hatinya. Ini dapat dibuktikan di dalam sejarah, seperti sembahyang Saidina Ali ketika panah terpacak dibetisnya. Untuk mencabutnya, ia lakukan sembahyang dulu, maka di dalam sembahyang itulah panah itu dicabut. Mereka telah mabuk dengan sembahyang. Makin banyak sembahyang semakin terasa lazat, sembahyanglah cara ia nak lepaskan kerinduan dengan tuhannya.

Dalam sembahyanglah cara ia nak mengadu-ngadu dengan Tuhannya. Alam sekelilingnya langsung ia tidak hiraukan. Apa yang nak jadi disekelilingnya langsung tak diambil peduli. Hatinya hanya pada Tuhannya. Golongan inilah yang disebut golongan Siddiqin. Golongan yang benar dan haq. Setelah kita nilai keseluruhan sembilan peringkat sembahyang itu tadi, maka dapatlah kita nilai sembahyang kita di tahap yang mana.

Maka ibadah sembahyang yang boleh membangunkan jiwa, membangunkan iman, menjauhkan dari yang buruk, boleh mengungkai mazmumah, menanamkan mahmudah, melahirkan disiplin hidup, melahirkan akhlak yang agung ialah golongan tujuh, lapan dan sembilan sahaja. Sembahyangnya ada kualiti, manakala golongan yang lain jatuh pada kufur, fasik dan zalim.

Jadi dimanakah tahap sembahyang kita? Perbaikilah diri kita mulai dari sekarang. Jangan tangguh lagi. Pertama-tama soalan yang akan ditujukan kepada kita di akhirat nanti ialah solat atau sembahyang kita.

Marilah bersama membaiki solat kita agar segara dapat bantuan dari Allah, agar terhapuslah kezaliman, semoga tertegak kembali daulah Islam.

19 October 2011

MenCari Ketenangan



Untuk rasa lebih tenang dan tenteram, berhentilah berharap pada orang lain. Sebab kalau kita berharap pada orang, nanti kita akan kecewa apabila harapan kita tu tak ditunaikan.

: Kita ni memang biasanya suka sangat meletakkan harapan dan berhajat pada pertolongan orang, terutamanya apabila dalam kesulitan.

: Ini silap besar. Islam tak ajar kita berharap pada makhluk.

: Islam menyuruh kita hanya meletakkan sepenuh harapan pada Allah. Sebab hanya Allah lah yang dapat membantu kita.

: Setiap hari, kita berikrar dalam solat setidak-tidaknya 17 kali mengatakan “Hanya kepada Allah kita sembah, dan kepada Allah sajalah kita mohon pertolongan.”

: Habis, apa perlunya lagi kita berharap dan meminta bantuan daripada manusia lain? Sedangkan manusia itu pun berharap pada Allah juga.

: Apabila kita berharap pada orang lain, orang yang kita harapkan tu tak dapat tunaikan hajat kita, maka kita pasti kecewa, kita bengang dan kita akan terasa hati. Sedangkan itu semua adalah salah kita. Siapa suruh kita berharap pada makhluk? Itulah akibatnya…

: Jadi untuk berasa lebih tenang dan bahagia, BERHENTILAH BERHARAP KEPADA MAKHLUK, sebab itu semua hanya akan menyesakkan dada dan menyakitkan jiwa. Kita pasti akan berasa sedih dan kecewa apabila harapan kita tidak ditunaikan.

: Sebaliknya, berharaplah pada Allah. Letakkan sepenuh harapan padaNYA dan yakinlah bahawa Allah pasti akan menunaikan hajat kita. Tak cepat, lambat. Kalau bukan di sini, insyaAllah di akhirat nanti Allah balas.

: Kalau pun, Allah tak tunaikan hajat kita, jangan sedih jangan gundah-gulana. Anggap sajalah bahawa Allah tak tunaikan hajat kita kerana mungkin disebabkan oleh kelemahan dan dosa-dosa yang kita telah lakukan.

: Yang penting, kita kena BERHENTI LAH BERHARAP PADA ORANG LAIN sebab ianya hanya akan mengecewakan hati anda. Percayalah. Saya dah banyak kali kecewa dan berkecil hati, sebab orang lain tak dapat tunaikan harapan saya. Sedangkan semua itu bukan salah mereka. Sebaliknya saya lah yang silap sebab mudah berharap pada orang lain. Akibatnya, saya yang kecewa dan kecil hati tak tentu pasal.

: Namun kini, saya hidup lebih tenang dan tenteram. Saya rasa lebih bahagia apabila saya berhenti berharap pada orang. Sebaliknya saya hanya mengharapkan bantuan dan pertolongan Allah pada saya. Saya yakin hanya Allah saja yang mampu bantu dan tolong selesaikan semua masalah dan tunaikan segala hajat keinginan saya. Alhamdulillah, saya rasa lebih tenang, aman, tenteram dan lebih bahagia…

13 October 2011

KITA HAMBANYA (untuk kita renungkan)


Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan
Berwudhu'lah kamu sebelum kamu diwudhu'kan
Dan solatlah kamu sebelum kamu disolatkan

Tutuplah `auratmu sebelum `auratmu ditutupkan
 Dengan kain kafan yang serba putih

Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih
Walaupun orang yang hadir itu merintih

Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai
Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah
Dengan empat kali takbir dan satu salam
Berserta Fatihah, Selawat dan doa
Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah

Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus
 Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?

Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud
 Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput?
 Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian

Justeru kumenyeru sekelian Muslimin dan Muslimat
Usunglah dirimu ke tikar solat
Sebelum kamu diusung ke liang lahad
Menjadi makanan cacing dan makanan ulat
Iringi dirimu ke masjid
Sebelum kamu diiringi ke Pusara

Tangisilah dosa-dosamu di dunia
 Kerana tangisan tidak berguna di alam baqa'

Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan
 Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan
 Dengan panggilan `Izrail yang menakutkan

Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan
Kerana ianya berguna untuk yang tinggal
Bukan yang pergi

Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan
 Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan
 Ingatlah di mana saja kamu berada
 Kamu tetap memijak bumi Tuhan
Dan dibumbungi dengan langit Tuhan
Serta menikmati rezeki Tuhan

Justeru bila Dia menyeru, sambutlah seruan-Nya
Sebelum Dia memanggilmu buat kali yang terakhirnya

Ingatlah kamu dahulu hanya setitis air yang tidak bererti

Lalu menjadi segumpal darahLalu menjadi seketul daging
Lalu daging itu membaluti tulang
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti
Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu
Yang kalau jatuh ke tanah
Ayam tak patuk itik tak sudu
Tapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu
Yang lebih agung dari malaikat
Lahirmu bukan untuk dunia
Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat

Sambutlah seruan `Hayya `alas Solaah
'Dengan penuh rela dan bersedia
Sambutlah seruan `Hayya `alal Falaah'
Jalan kemenangan akhirat dan dunia

Ingatlah yang kekal ialah amal
Menjadi bekal sepanjang jalan
Menjadi teman di perjalanan
Guna kembali ke pangkuan Tuhan

Pada hari itu tiada berguna harta, takhta dan putera
Isteri, Suami, kad kredit dan kereta
Kondominium, saham dan niaga
Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia.

06 October 2011

30 Wasiat Imam Al Syafie

1. Belajar dan Mengajarkan Ilmu “Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan akhirat, di samping ianya menjadi amalan para nabi, rasul dan orang-orang soleh.” –Imam Syafie-. Ilmu yang sebenar-benarnya adalah ilmu yang mendekatkan kita kepada Allah. Tidak kira ilmu akhirat seperti tauhid ataupun ilmu dunia seperti sains dan matematik kerana kedua-dua jenis ilmu ini mengajar kita akan kewujudan dan kekuasaan Allah yang tidak terbatas.

2. Memilih Makanan yang Halal “Pilihlah makanan yang halal kerana ia menjamin kesihatan dan menyebabkan syaitan gerun.” –Imam Syafie-. Dalam hadis yang dinyatakan oleh Tirmizi, nabi bersabda “Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya.”

3. Memperbanyakkan Lima Perkara “1. Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk. 2. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia. 3. Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan. 4. Jangan menyebut-yebut kebaikan diri dan keluarga. 5. Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain.” –Imam Syafie-. Nabi Muhammad pernah mengingatkan umatnya berkenaan menggunakan lima kesempatan sebelum tiba lima bencana iaitu muda sebelum tua, lapang sebelum sibuk, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin dan hidup sebelum mati.

4. Sabar dengan Musibat, Syukur dengan Nikmat “Sabar menghadapi musibat adalah sebesar-besar erti sabar di mana sabar itu sendiri memerlukan kesabaran pula. Adapun bala dan musibat, ia menunjukkan adanya perhatian dan kasih saying Allah. Oleh itu, syukurilah ia kerana syukur yang sedemikian setinggi-tinggi erti syukur.” –Imam Syafie-. Musibat dan nikmat adalah cubaan daripada Allah supaya manusia sedar dan kembali mengingati kekuasaan Allah. Manusia mempunyai sifat yang berbeza terutama dalam menghadapi susah, musibat, bala, malapetaka, kesenangan dan kenikmatan.

5. Menziarahi Orang Sakit “Apabila salah seorang di antara kaum kerabat ataupun jiran dan saudara kamu sakit, hendaklah ringankan langkah untuk menziarahinya kerana ia disaksikan oleh malaikat dan dicintai Allah.” –Imam Syafie-. Barang siapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah, maka terdengarlah suara yang memanggil dan mengatakan bagus dan bagus langkahmu dan ambillah tempat tinggalmu di dalam syurga.

6. Hindari Perasaan Marah “Marah adalah salah satu di antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu, hindarilah ia agar kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.” –Imam Syafie-. Apabila marah diperturutkan, ia membakar kebaikan seperti api membakar kayu dan tiada yang tersisa kecuali barah dan debu.

7. Mengasihani Anak Yatim “Kasihanilah anak yatim kerana Rasulullah SAW juga tergolong sebagai anak yatim dan baginda akan bersama-sama dengan orang yang menyayangi dan mengasihi anak yatim di akhirat.” –Imam Syafie. Membiarkan anak yatim bererti kita mengkhianati agama dan menghina mereka. Ini bererti kita turut membenci Nabi Muhammad yang juga anak yatim piatu. Bimbinglah mereka ke jalan yang diredai Allah dan jauhilah mereka daripada jalan kesesatan.

8. Berbakti kepada Ibu Bapa “Berbuat baik dan tunjukkan baktimu kepada ibu bapamu tanpa mengenal letih dan lelah sebagaimana mereka telah berbuat begitu sepanjang hayat mereka. Ianya akan menambah keberkatan pada umurmu, menambah rezeki dan keampunan atas dosa-dosamu.” –Imam Syafie-. Derhaka kepada ibu bapa termasuk dalam empat dosa-dosa besar. Keadaan ini jelas berdasarkan sabda nabi yang dinyatakan oleh Bukhari, “Sebesar-besar (daripada) dosa besar ialah menyekutukan Allah, membunuh manusia, derhaka kepada dua ibu bapa dan menjadi saksi palsu.”

9. Amal Soleh sebagai Perisai “Berbuatlah sebanyak-banyaknya amal soleh kerana ia merupakan pendinding dan perisai orang Mukmin dan pelindung daripada serangan iblis.” –Imam Syafie-. Semua amalan itu bukan untuk Allah, tetapi untuk keuntungan pengamalnya sendiri. Allah tidak memerlukan kita dan amal soleh kita sedikit pun. Sebaliknya, kitalah yang memerlukannya.

10. Takwa Membuahkan Insan Berjaya dan Cemerlang “Takwa merupakan pakaian kebesaran dan hiasan akhlak Muslim sebenar. Ianya ibarat pokok zaitun, minyaknya membawa berkat, ianya juga memberi kejayaan dan kemenangan.” –Imam Syafie-. Nabi Muhammad pernah bersabda dalam hadis yang dinyatakan oleh Tirmizi, “Bertakwalah kamu di mana saja berada, iringilah setiap perbuatan dosa dengan amalan kebaikan yang akan memadamkan dosa itu dan pergaulilah manusia dengan akhlak terpuji.”

11. Bentengi Iman dengan Lima Kekuatan “Iman mempunyai bentengnya bagi menghalang segala serangan yang cuba merobohkannya. Oleh itu, bagi menguatkan benteng iman, perlulah dibajai keimanan dengan 5 perkara iaitu yakin, ikhlas, mengerjakan amalan sunat, istiqamah beramal, bertatasusila ataupun berdisiplin di dalam mengerjakan ibadah.” –Imam Syafie-. Iman itu selepas diusahakan mencari dan menyuburkannya, wajib pula mengawal dan membentenginya daripada serangan musuh-musuh yang akan merosakkan iman. Tanpa pagar ataupun benteng yang kukuh, pasti iman terancam oleh musuhnya iaitu nafsu dan syaitan.

12. Ilmu Menenangi Hati “Ingat dan zikir kepada Allah sebanyak-banyaknya kerana ia mengubati penyakit jasmani dan hati. Ia mencetuskan ketenangan hidup dan qanaah.” –Imam Syafie-. Ketenteraman hati dan ketenangan hidup adalah kuasa maha ajaib yang diperlukan dalam hidup manusia. Menjadi hukum serta prinsip alam, orang itu akan berasa aman dan tenang apabila mengetahui dan merasakan di sana ada ‘kuasa’ yang mampu mengatasi segala kebimbangan dan rasa terancam.

13. Khusyuk Zahir dan Batin “Kyusuk secara zahir adalah kyusuknya orang awam. Kyusuk secara batin adalah kyusuknya orang pilihan di sisi Allah.” –Imam Syafie-. Kyusuk berlaku kerana hati ikut bermunajat, berzikir, sentiasa berdoa kepada Allah serta sentiasa ingat Allah melihat gerak-geri hambaNya.

14. Awas! Kubur Menunggu Kita “Kubur adalah sebuah perhentian sementara untuk membolehkan ke satu perhentian lagi yang penuh dengan soal siasat. Oleh itu, siapkanlah jawapan yang adil dan benar menerusi amal yang benar dan taat kepada al-Haq yang tidak berbelah bagi.” –Imam Syafie-. Di dalam kubur, liang yang sangat sempit, tidak ada perbezaan antara pelayan dan majikan, kaya dan miskin. Semuanya sama. Nikmat kemewahan dan kelazatan dunia pasti berakhir dengan kematian.

15. Mematahkan Serangan Syaitan “Kita hendaklah sentiasa memohon perlindungan daripada Allah. Sekurang-kurangnya, dengan mengucapkan A’uzu billahi min al-syaithan il-rajim. Jika serangan syaitan dating juga bertalu-talu dengan hebat, kita mestilah bersabar dan menyedari Allah Taala hendak menguji keteguhan sabar kita, hendak melihat ketulenan jihad kita. Ketahuilah, perang dengan syaitan itu lebih hebat daripada perang sabil.” –Imam Syafie-. Syaitan sentiasa berdendam dengan manusia. Setiap saat memerangi manusia dengan membisikkan hasutan, godaan dan tipu daya. Manusia yang mengerjakan ibadat kepada Allah adalah orang yang paling dimusuhi.

‎16. Sebesar-besar Keaiban “Sebesar-besar keaiban (keburukan) adalah engkau mengira keburukan orang lain sedangkan keburukan itu terdapat dalam dirimu sendiri.” –Imam Syafie-. Nabi Muhammad bersabda, “Sebesar-besar keburukan apabila engkau melihat keburukan dan kekurangan yang ada pada diri orang lain sedangkan keburukan dan kekurangan yang engkau cemuh dan cela ada di dalam diri engkau sendiri.”

17. Membetulkan Hati “Hati adalah raja di dalam diri. Oleh itu lurus dan betulkan ia supaya empayar kerajaan dirimu tegak di atas al-Haq yang tidak disertai oleh iringan-iringan pasukan kebatilan.” –Imam Syafie-. Anggota lahir hanya rakyat dalam kerajaan diri yang patuh pada perintah raja. Apabila hati jahat, jahatlah seluruh anggota badan. Sebaliknya apabila hati baik, baiklah seluruh anggota badan.

18. Istighfar Menggoncangkan Kerajaan Iblis “Ketahuilah bahawa istighfar yang diucapkan dengan betul mampu membuat syaitan lari ketakutan dan menggoncang empayar iblis di istana kerajaannya.” –Imam Syafie-. Istighfar dapat melembutkan fikiran dan jiwa individu. Ia menghindarkan individu draipada terlanjur melakukan kesalahan, menyalahkan orang lain dan menyebut perkataan dan ucapan yang tidak terpuji. Sebaliknya, selalu menyebut nama-nama Allah dan terus memohon keampunan Allah.

19. Indahkan Dunia dengan Maaf “Ketahuilah bahawa sebesar-besar kesenangan di dunia dan di akhirat adalah memberi maaf kepada orang lain dan melupakan terus kesalahannya, nescaya Allah akan meninggikan darjatnya di sisi manusia.” –Imam Syafie-. Sifat suka memaafkan adalah perbuatan terpuji. Ia menzahirkan kebersihan hati yang suci murni. Orang yang suka memaafkan orang lain adalah hasil dorongan keredaan hatinya kepada Allah.

20. Takafur sebelum Tidur “Takafurlah sebelum tidur untuk menghisab diri di atas salah dan silap semasa aktiviti pada siang hari sebagaimana Umar bin Khattab menyiasati dirinya dengan pelbagai soalan tentang dosa-dosanya pada siang hari.” –Imam Syafie-. Imbas kembali setiap gerak langkah sepanjang siang tadi. Bandingkan amalan semalam dengan amalan hari ini. Jika amalan hari ini semakin baik, itu tandanya sudah ada peningkatan takwa di dalam diri. Tidak kira sama ada amalan itu berkaitan dengan urusan hablumminallah iaitu hubungan dengan Allah ataupun hablumminannas iaitu hubungan dengan manusia.

21. Kata-kata Hikmat Imam Syafie “Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan akhirat, di samping ianya menjadi amalan para nabi, rasul dan orang-orang soleh.” –Imam Syafie-. Insan terbahagi kepada tida iaitu:- 1. Mereka yang mengenal Allah. 2. Mereka yang mencari kebenaran. 3. Mereka yang tidak berpengetahuan dan tidak mencari kebenaran.

22. Tunaikan Sepuluh Hak “Barang siapa yang ingin meninggalkan dunia dengan selamat, hendaklah dia mengamalkan sepuluh perkara berikut:- 1. Hak diri iaitu mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan bercakap dan berpada-pada dengan rezeki yang ada. 2. Hak malaikat maut 3. Hak kubur 4. Hak Munkar Nakir 5. Hak mizan 6. Hak sirat 7. Hak Malik 8. Hak Ridhwan 9. Hak Rasulullah 10. Hak kepada Allah…” –Imam Syafie-. Hak kepada Allah iaitu mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia daripada kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci maksiat.

23. Imam Syafie dengan Pendebat “Engkau seorang manusia yang dijadikan daripada tanah dan engkau juga akan disakiti (dihimpit) dengan tanah.” –Imam Syafie-. Mengapakah iblis diciptakan daripada api dan kemudian dia diseksa pula dengan api?

24. Sepuluh Keutamaan Menghubungkan Ukhuwah “Barang siapa yang menjalin ukhuwah dan menghidupkannya, maka ia akan memperoleh sepuluh kutamaan…” –Imam Syafie-. Orang yang menghubungkan ukhuwah amat disukai Allah serta penduduk-penduduk langit. Para malaikat juga gembira.

25. Meraih Syurga Impian “Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman bahawa mereka akan ditinggikan darjat dan diberi kemuliaan selagi mereka menunaikan perintah Allah…” –Imam Syafie-. Di depan kita terbentang dua jalan. Terpulang kepada kita jalan mana yang mahu diikuti. Tepuk dada, Tanya iman. Bukan tanya selera yang memang suka kepada nafsu.

26. Meraih Pertolongan Allah “Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman bahawa mereka akan mendapat pertolongan Allah seperti dalam firmanNya dalam surah ar-Rum ayat 47 yang bermaksud, ‘Dan adalah menjadi hak (tanggungjawab) Kami untuk menolong orang-orang yang beriman’.” –Imam Syafie-. Allah juga berfirman dalam surah Ali Imran ayat 160 yang bermaksud, “Jika Allah menolong kamu, maka tiadalah yang dapat mengalahkan kamu, jika Allah membiarkan kamu (tidak memberikan pertolongan) maka siapakah yang dapat menolong kamu selain Allah.”

27. Memohon Pembelaan Allah “Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman bahawa mereka akan mendapat pembelaan daripada Allah sebagaimana firmanNya dalam surah al-Hajj ayat 38 yang bermaksud, ‘Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman’.” –Imam Syafie-. Iman itu sesudah diusahakan mencari dan menyuburkannya, wajib pula mengawal dan membentenginya daripada serangan musuh-musuh yang dapat merosakkan iman. Tanpa pagar ataupun benteng yang kukuh, pasti iman terancam oleh musuhnya iaitu nafsu dan syaitan.

28. Menjadi Wali Allah “Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa bahawa Allah akan menaiktarafkan darjat mereka sehingga ke taraf wali-wali Allah selagi memenuhi syarat-syaratNya seperti dalam firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 257 yang bermaksud, ‘Allahlah penolong (wali) bagi orang-orang beriman’.” –Imam Syafie-. “Sesungguhnya wali-wali Allah itu adalah mereka yang tiada kekhuatiran dan tiada mereka bersedih hati iaitu orang-orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah.”

29. Mencari Hidayah Allah “Allah s.w.t. menjanjikan kepada orang-orang yang beriman akan memberi petunjuk dan jalan lurus sebagaimana firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 54 yang bermaksud, ‘Sesungguhnya Allah adalah pemberi petunjuk bagi orang-orang yang beriman kepada jalan yang lurus’.” –Imam Syafie-. Lima perkara bagi mendapat hidayah Allah:- 1. Perbanyakkan menyebut Allah. 2. Perbanyakkan menyebut akhirat. 3. Perbanyakkan menyebut dan mengingati kematian. 4. Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga. 5. Jangan sebut-sebut keaiban orang.

30. Rezeki yang Baik dan Keberkatan “Allah s.w.t. menjanjikan kepada orang yang beriman bahawa mereka akan memperoleh rezeki yang baik dan pelbagai keberkatan selagi mereka menunaikan perintah Allah s.w.t. sebagaimana firmanNya dalam surah al-A’raf ayat 96 yang bermaksud,’Jikalau sekiranya penduduk kota beriman dan bertakwa pasti Kami akan melimpahkan mereka berkat dari langit dan bumi tetapi mereka mendustakan ayat-ayat Kami, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka’.”
-Imam Syafie-. Qu’ran menyebut, segala musibah yang menimpa adalah akibat daripada tingkah dan olahan manusia sendiri. Ada masanya musibah itu tidak Cuma menimpa orang yang salah tingkah (zalim) tetapi meliputi semua orang termasuk orang yang tidak bersalah.

27 September 2011

Perlu Ke Alasan Untuk Buat Dosa ?

“Aku dah usaha tinggal dah, tapi tak mampu. Nak buat macam mana”
“Tak boleh bai, aku ni lemah dengan godaan. Nafsu kuat sangat. Tu yang tak boleh tinggal benda-benda ni”
“Allah dah takdirkan aku camni. Aku nak buat camna. Dah tertulis di lauh mahfuz aku ni buat maksiat-maksiat ni. Takdir aku memang begini”

Itu antara alasan yang sering didengari. Mungkin kita tidak pernah mendengarnya daripada mulut orang lain. Tetapi kita mendengarnya daripada hati kita sendiri. Ya. Kita memberikan alasan, untuk membenarkan kita melakukan dosa, keingkaran kepada Allah SWT.
Kita tunjukkan pada ketidak mampuan kita, kita katakan ia adalah punca godaan yang datang, malah adakalanya kita meletakkan perkara ini atas takdir Allah dan menyatakan ini semua susunan-Nya. Inilah alasan-alasan kita. Alasan untuk berdosa.
Benarkah ia satu alasan yang melepaskan kita dari azab seksa-Nya?
Kita Yang Memilih Untuk Lemah
Dalam mengharungi kehidupan, sememangnya manusia akan bertemu dengan cabaran dan dugaan. Halangan demi halangan akan wujud untuk menguji insan.
Ujian ini adalah untuk melihat dari kalangan manusia ini, yang manakah yang terbaik amalannya, yang manakah yang layak menerima rahmat Allah dan memasuki syurga-Nya.
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);” – Surah Al-Mulk ayat 2. Maka sudah menjadi lumrah bahawa dalam kehidupan ada ujian.
.
Justeru apakah alasan tidak mampu?
Hakikatnya, semua manusia mampu melepasi ujian yang Allah sediakan. Allah SWT telah berjanji bahawa, setiap ujian yang ditimpakan ke atas diri manusia itu, berada dalam lingkungan kemampuannya.
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” – Surah Al-Baqarah ayat 286.
.
Jadi, bagaimanakah boleh tidak mampu?
Jawapannya adalah, kita yang memilih untuk lemah. Kita yang memilih untuk tidak mengharungi cabaran dengan bersungguh-sungguh. Kita memilih untuk tidak berusaha hingga ke akhirnya.
Kita memilih untuk tunduk dan menerima kegagalan, lantas redha dengan kemaksiatan yang kita lakukan.
Perhatikan betul-betul di dalam jiwa kita. Benarkah kita tidak mampu? Atau kita yang memilih untuk tunduk kepada kerosakan?
.
Takdir Allah lah Yang Silap?
Menuding kepada Allah dan menyalahkan-Nya atas dosa-dosa yang kita lakukan adalah satu jenayah yang besar. Itu tandanya keimanan di dalam jiwa sudah terkoyak dan rosak.
“Kenapa Allah benarkan aku buat dosa?” Kita akan bertanya-tanya.
Tetapi siapa yang memilih untuk melakukan dosa? Siapa yang bergerak untuk melakukan dosa? Siapakah? Kita.
Ketahuilah di dalam kehidupan ini, Allah berikan manusia satu perkara yang besar bernama IKHTIAR, pilihan, untuk manusia memilih sendiri antara yang buruk atau yang baik. Maka terletak di tangan kita untuk bergerak ke arah mana.
Dan setiap arah yang kita ambil, kita perlu sedar, ada konsikuensinya.
“Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)” – Surah Al-Baqarah ayat 256.
Di zaman Umar Al-Khattab RA, ada seorang lelaki mencuri. Bila ditanya mengapa dia mencuri, lelaki itu menjawab: “Aku mencari kerana, Allah telah mentakdirkan aku mencuri”
Saidina Umar menyuruh lelaki itu dipotong tangannya, dan disebat 40 kali.
Sahabat-sahabat terkejut dengan hukuman itu. “Wahai Umar, hukum untuk mencuri hanyalah potong tangan. Mengapa ditambah dengan 40 sebatan?”
“Potong tangan untuk mencuri, dan 40 sebatan adalah untuk tuduhannya ke atas Allah SWT”
Ini adalah dalil yang jelas bahawa, kesalahan kita adalah tanggungjawab kita sendiri.
Lelaki itu, boleh sahaja memilih untuk tidak mencuri. Allah memberikannya ikhtiar. Tetapi dia memilih untuk ingkar kepada Allah SWT dan melakukan kejahatan dengan sengaja.
Dan siapa yang mengetahui takdir Allah? Tiada siapa mengetahui.
Justeru, bagaimana alasan bahawa: “Allah dah takdirkan aku macam gini, jadi orang jahat” itu boleh dipakai?
.
Pengajaran Pembunuh 100 Orang
Saya suka dengan kisah pembunuh 100 orang. Dia telah membunuh 99 orang. Kemudian dia hendak bertaubat. Lihatlah. Dia telah membunuh 99 orang. Tidak pula dia menyalahkan Allah SWT atas tindakannya membunuh 99 orang itu. Bahkan, dia bergerak pula hendak bertaubat kepada Allah SWT. Lihat usahanya itu. Lihat kehendaknya itu.
Sampai kepada seorang alim, alim itu berkata bahawa, orang sepertinya tiada harapan. Oleh kerana marah, dia membunuh pula orang itu, mencukupkan pembunuhannya kepada 100. Tetapi selepas itu, dia mencari lagi jalan untuk bertaubat.
Lihat. Walaupun seorang alim menyatakan kepadanya bahawa dia telah tiada harapan, dia tetap berusaha. Lihatlah kepada dia ini. Adakah dia berkata: “Memang Allah dah takdirkan aku begini”???
Akhirnya, dia bertemu dengan seorang lagi alim. Dan orang alim itu berkata bahawa lelaki itu perlu meninggalkan suasana yang tidak membina. Maka ditunjukkan satu perkampungan yang boleh memberikannya suasana untuk bertaubat.
Maka bergeraklah lelaki itu. Tetapi di tengah perjalanan, dia meninggal dunia. Meninggal dunai tanpa sempat bertaubat. Tetapi dalam keadaan sedang berusaha untuk bertaubat.
Dan dia dimasukkan ke dalam syurga. Kisah ini boleh didapati dalam Sohih Muslim dalam bab Taubat. Lihatlah bagaimana Allah membalas usahanya. Dia tidak sempat pun bertaubat. Tetapi dia tidak berputus asa untuk menebus dosanya. Dia tidak berputus asa mencari jalan keluar.
Dia berusaha dan berusaha tanpa menuding jari kepada itu dan ini. Dia tidak pula memberikan alasan bahawa takdir tidak menyebelahinya dan dirinya sudah ketagih, tidak berkemampuan dan sebagainya.
Tetapi dia berusaha. Dia menggagahkan dirinya. Dia berusaha merapat kepada Allah SWT. Dia tidak memilih untuk lemah. Dia tidak memilih untuk semakin jauh daripada Allah. Lihatlah dia.
.
Mengapa memilih jalan sedemikian? Mengapa tidak berusaha sehingga habis hayat?
Mengapa tidak bergerak mendekati Allah dengan sepenuh kekuatan? Soalan-soalan ini perlu dilontarkan kepada dalam diri kita.
Perhatikan diri kita. Yang bersalah hakikatnya adalah kita. Kita yang memilih jalan keburukan. Dan siapa kata kita tidak boleh keluar? Allah kah kata? Adakah kita mengetahui? Hakikatnya, kita yang memilih untuk terus kekal dalam kerosakan. Justeru, siapa yang memilih untuk keluar?

Sumber Artikel : - Mediaserius.Com

20 September 2011

Rezeki Ditangan Allah


 Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi 
Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu; lantas Nabi
Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas
batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus. Nabi
Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut: " Wahai semut apakah engkau
yakin ada makanan cukup untuk kamu".
Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di
tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang
tandus ini ada rezeki untuk ku". Lantas Nabi Allah Sulaiman pun
bertanya: " Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah ya ng
engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"
Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan". Nabi
Allah Sulaiman pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji
gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh
tolong".. Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat
semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas; kemudian Nabi ambil gandum
sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi
tinggal semut didalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan.
Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi
hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman
menemplak semut: "Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu
kata kamu makan sebiji gandum sebul an, ini sudah sebulan tapi kamu
makan setengah".
Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada
di atas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti
sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki
itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku.
Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku
bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah
aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu
lupa". Itulah Iman Semut!!
IMAN MANUSIA??
Di zaman Imam Suffian, ada seorang hamba Allah yang kerjanya men
gorek kubur orang mati. Kerja korek kubur orang mati bukan kerja
orang ganjil. Bila ada orang mati, mayat terpaksa ditanam, oleh itu
kubur perlu digali dulu. Tetapi yang ganjil mengenai hamba Allah ini
ialah dia tidak gali kubur untuk tanam mayat.
Sebaliknya apabila orang mati sudah ditanam, waris sudah lama balik
kerumah dan Munkar Nakir sudah menyoal, barulah penggali ini datang
ke kubur untuk korek balik.
Dia nak tengok macam mana rupa mayat setelah di INTERVIEW oleh Munkar
Nakir. Dia korek 1 kubur, 2 kubur, 3 kubur, 10 kubur, 50 kubur sampai
100 kubur. Lepas itu, penggali pergi kepada Imam Suffian dan bertanya
kepadanya: "Ya Imam, kenapakah daripada 100kubur orang Islam yang aku
gali, dua sahaja yang mana mayat di dalamnya masih berhadap kiblat.
Yang 98 lagi sudah beralih ke belakang?".
Jawab Imam Suffian:" Diakhir zaman hanya 2 dari 100 umat Islam yang
percaya rezeki itu di tangan Allah. 98 orang lagi tidak percaya
bahawa rezeki di tangan Tuhan". Itulah sebabnya apabila umat Islam
tertekan dengan SOGOKAN duit yang banyak, biasanya, iman dia akan
beralih. Nyatalah iman semut lebih kuat dari iman manusia.
Kata Saidina Ali kepada Kamil: " ILMU ITU LEBIH BAIK DARIPADA HARTA,
ILMU MENJAGA ENGKAU DAN ENGKAU MENJAGA HARTA, ILMU MENJADI HAKIM,
HARTA DIHAKIMKAN, HARTA BERKURANGAN APABILA DIBELANJAKAN DAN ILMU
BERTAMBAH
APABILA DIBELANJAKAN". 

22 August 2011

Peluang 'Last Minute', Lailatul Qadar & Kita


Pendekatan Last Minute & Sujud Akhir
"Orang kita memang suka benda-benda 'last minute' ni" kata seorang rakan saya
"Study last minute"
"Buat kerja suka dan lebih bersemangat bila last minute"
"Solat last minute, sujud pun nak tunggu last minute"
Sehingga timbul kefahaman yang meluas di kalangan masyarakat bahawa sujud terakhir dalam solat adalah waktu yang paling maqbul doa.
Setakat pencarian saya dalam ensaiklopedia gabungan puluh ribuan kitab Fiqh yang muktabar, Tafsir dan Hadith, tidak ada sebarang bukti dari Al-Quran atau hadith nabi atau yang menyatakan doa dalam sujud terakhir adalah yang paling maqbul.
Nabi hanya beritahu bahawa ketika sujud doa adalah maqbul, tetapi tiada dikhaskan sebagai 'Keistimewaan Sujud Terakhir' . Jika ada yang tahu, haraplah memaklumkan sumber sohihnya.
Apa yang ada adalah sabda baginda Nabi s.a.w ketika menyebut :
وَأَمَّا السُّجُودُ فَاجْتَهِدُوا في الدُّعَاءِ   فَقَمِنٌ أَنْ يُسْتَجَابَ لَكُمْ 
Ertinya : Dan adapun sujud, maka berusahalah memperbanyakkan doa kerana ia amat hampir dan boleh mendapat kemustajaban bagimu" ( Riwayat Muslim, 1/348)
Jika melihat huraian dan syarahan hadis ini oleh Imam An-Nawawi dan Ibn Hajar, kita akan mengerti bahawa sujud yang maqbul itu adalah semua jenis sujud terutamanya dalam solat fardhu. Tiada sebarang pengkhususan kepada sujud akhir.
Wallahu 'alam, tiada juga dijumpai dalam kitab Fiqh yang muktabar akan cadangan sujud akhir ini. Jika benar-benar tiada, justeru ia mungkin pengaruh tabiat 'last minute' kot..sehingga terbawa-bawa dalam ibadah.
Memang benar tidak semua jenis pendekatan 'last minute' itu tidak tepat, salah, terkeji dan tidak berasas. Dalam sesetengah keadaan ia terpaksa dilakukan, tapi yang dirisaukan adalah kualitinya mungkin boleh tergugat. 
Kini, kita ada peluang kita untuk meraih ganjaran dan hasil Ramadhan semakin sampai ke minit terakhir. Bagi memastikan ramai yang berjaya, sayangnya Allah s.w.t kepada kita yang lemah ini, diberinya lagi peluang minit-minit terakhir ini dengan sesuatu yang lebih istimewa. Ia bertujuan memberikan motivasi kepada kita agar mampu menjadi insan bertaqwa serta dengan segera membina tembok iman yang kukuh sebelum keluar dari bulan mulia Ramadhan.
Peluang ibadat dalam 10 malam terakhir Ramadhan telah sedai diketahui ramai. Pengkhususan berkenaan kehebatan dan tawarannya juga bukan lagi ganjil dari minda umat Islam sedunia.


Kehebatan Malam Al-Qadr 
Dalam tulisan ringkas ini, cuba sama-sama kita hayati beberapa keistimewaan Laylatul Qadar seperti berikut :-
1) Malam berkat yang di turunkan padanya Al-Quran (secara sepenuhnya dari Lawh Mahfuz ke Baytil Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi SAW secara berperingkat) ;
Justeru ia disifatkan sebagai malam penuh berkat dalam ayat 3 surah ad-Dukhaan. Pandangan ini adalah sohih dari Ibn Abbas, Qatadah, Sai'd Ibn Jubayr, ‘Ikrimah, Mujahid dan ramai lagi.  (Tafsir Al-Baidawi, 5/157 ; Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126 )
2) Di tuliskan pada malam tersebut "qadar" atau ketetapan bagi hidup, mati, gembira, rezeki, sihat, sakit dan apa jua berkaitan qadar manusia dan destinasi mereka pada tahun itu.
Ini diambil dari firman Allah s.w.t :-
فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ
Ertinya : Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Yang mengutus rasul-rasul ( Ad-Dukhan : 4-5)
Imam At-Tabari menyebut bahawa pada malam itu, diputuskan hal ajalnya seseorang,  rezekinya, kejadiannya. Malah di malam tersebut juga, ditentukan siapa yang berkahwin dengan siapa, nama siapa yang termasuk dalam senarai kematian pada tahun berikutnya, apakah musibah yang akan menimpa dan lain-lain. Ia juga yang dihuraikan oleh Imam Qatadah, Mujahid dan Al-Hassan(Tafsir At-Tabari, 25/108 )
Imam Al-Qurtubi mencatatkan

Ertinya : Berkata Ibn Abbas, Allah s.w.t menghakimi atau menentukan urusan untuk dunia apabila tibanya Laylatul Qadar, dari segala urusan tentang kehidupan (hambanya) atau kematian atau rezeki  (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126)
Demikian juga yang difahami dari apa yang disebut oleh Ibn Abbas. (Tafsir Ibn Kathir, 137/138). Imam An-Nawawi ada menghuraikan maksud panjang bagi hal ini. (Syarah Sohih Muslim, 8/57). Menurut pandangan yang lain qadarjuga membawa bermaksud mulia atau agung.
Adakah kita sudah BERSEDIA untuk meninggal dunia hari ini atau sebentar lagi?
Adakah merasa takut untuk menunggu kehadirannya?
Saya selalu cuba menghadirkan perasaan dan persoalan ini dalam minda saya, terutamanya ketika memandu kereta dan menaiki kapal terbang. Terbayang tayar meletup dan kereta terhumban, atau kapal terbang rosak dan menunggu maut hadir sebagaimana yang saya kerap dan suka saya lihat perbincangan mengenainya di dalam rancangan 'Air Crash' terbitan National Geogharphic Channel.
Jika belum merasa sedia, maka apakah sebabnya? Adakah umur yag diberikan belum mencukupi?, atau aqal belum sempurna berfikir untuk menyiapkan persediaan.? Bukankah kita merupakan insan normal yang punyai aqal sihat, malah kita amat marah digelar 'bodoh' oleh orang lain.
Lantas, apakah lagi alasan yang ingin kita sebutkan? Adakah kerana terlalu sibuk mengejar dunia dan leka dengan kenikmatan sementaranya, sehingga tiada masa memikirkan ibadah dan mengetahui perkara halal serta haram.
Justeru, malam Al-Qadr boleh menjadi satu peluang dan ruang untuk berdoa memanjangkan umur dalam ibadah, amal soleh dan rezeki yang baik. Berusahalah.
Sama-sama kita hidupkan malam-malam akhir Ramadhan dengan dengan beribadat sehabis mungkin bagi memastikan yang terbaik buat destinasi hidup kita.
Hanya beberapa hari sahaja untuk bersengkang mata dan melawan nafsu tidur dan rehat. Jika kita punyai cuti yang agak panjang sebelum raya, habiskan ia dengan bacaan Al-Quran dan fahami ertinya. Nafsu 'shopping' dan rehat pasti akan menganggu. Lawani ia, hanya beberapa hari sahaja, paling panjang 10 hari sahaja.
3) Malam ini terlebih baik dari seribu bulan untuk beribadat.
Perlu difahami bahawa para ulama berbeza pandangan dalam pengertian seribu bulan kepada pelbagai takwilan. Cuma Imam At-Tabari selepas membawakan hampir semua pendapat-pendapat semua pihak ia mentarjihkan dengan katanya :-
وأشبه الأقوال في ذلك بظاهر التنزيل قول من قال عمل في ليلة القدر خير من عمل ألف شهر ليس فيها ليلة القدر
Ertinya : Pendapat yang paling tepat dari zahir teks nas yang diturunkan adalah pendapat yang mengatakan erti Seribu bulan adalah "beramal di laylatu Qadr sama dengan amalan seribu bulan yang tiadanya lailatul Qadr ( selain bulan Ramdhan)  ( At-Tabari, 30/259)
Imam Malik dalam al-Muwatta' membawakan satu hadis Nabi s.a.w yang memberi makna seribu bulan itu adalah gandaan sebagai ganti kerana umur umat zaman ini yang pendek berbanding zaman sebelum Nabi Muhammad SAW yang amat panjang seperti Nabi Nuh as. (Al-Muwatta, no 698, 1/321 ; Al-Jami' Li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 20/133 ; Syeikh Atiyyah Saqar, Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, dengan pindaan).
4) Pada malam itu, turunnya para Malaikat dan Ruh (Jibrail as).
Hal ini disebutkan di dalam al-Quran dari surah al-Qadr. Manakala, dalam sebuah hadith disebutkan bahawa pada malam tersebut, malaikat akan turun dan berjalan kepada seluruh individu yang sedang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat, berzikir, serta memberi salam kepada mereka dan mengaminkan doa mereka maka Allah akan mengampunkan mereka kecuali empat kumpulan : Peminum arak, penderhaka ibu bapa, pemutus siltarurrahmi dan individu yang sedang bermusuhan.
5) Malam itu juga disebutkan sebagai malam yang sejahtera.
Hinggakan Syaitan juga tidak mampu untuk melakukan kejahatan dalamnya. (Tafsir Ibn Kathir, 4/531 ; Al-Qurtubi, 20/134 ) . Sejahtera dan keberkatan ini akan berterusan sehingga naik fajar dan bukannya pada saat tertentu sahaja. Hal ini juga di sebutkan dari firman Allah dalam surah al-Qadr.
6) Diampunkan dosa terdahulu bagi sesiapa yang menghidupkannya dengan iman, ikhlas dan mengharap redha Allah;
Ia berdasarkan hadith sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim. (Fath al-Bari, 4/251)
Hidup kita adalah pendek, panjangkan ia dengan amal jariah dan amalan soleh melebihi seribu bulan.
Sekian

Artikel Dari
Ustaz Zaharuddin Abd Rahman