SATU hari, ketika Rasulullah SAW sedang berkumpul dengan
para sahabatnya berhampiran Kaabah, seorang lelaki asing melintas di hadapan
mereka. Setelah lelaki itu berlalu, Rasullullah berkata kepada para sahabatnya,
“Dialah ahli syurga.” Rasullullah mengulanginya sebanyak tiga kali.
Berikutan kenyataan
Rasulullah itu, timbul perasaan ingin tahu di kalangan para sahabat terutamanya
Abdullah bin Umar yang memang dikenali sebagai seorang yang sangat kritikal.
Dia lalu bertanya
kepada Rasulullah “Ya, Rasulullah, mengapa engkau katakan itu kepada kami,
padahal selama ini kami tidak pernah mengenalinya sebagai sahabatmu? Sedangkan
terhadap kami sendiri yang selalu mendampingimu engkau tidak pernah mengatakan
hal itu?”
Rasulullah menjawab
soalan Abdullah dengan penuh diplomasi dan bijak. Rasulullah berkata, ‘‘Jika
engkau ingin tahu tentang apa yang aku katakan, silakan engkau tanyakan sendiri
kepadanya.”
Abdullah yang
mendengar jawapan Rasulullah itu semakin teruja untuk mengetahui apa
istimewanya lelaki tersebut sehingga dia dikatakan sebagai ahli syurga.
Berikutan itu
Abdullah berkunjung ke rumah lelaki berkenaan bagi mendapatkan jawapannya.
‘‘Semalam sewaktu
engkau melintas di hadapan kami, Rasulullah mengatakan bahawa engkau seorang
ahli syurga. Apa yang menjadi rahsiamu sehingga Rasulullah begitu
memuliakanmu?'' Lelaki itu tersenyum, kemudian menjawab, “Sesungguhnya aku
tidak pernah melakukan apa-apa. Aku bahkan tidak memiliki kekayaan apa-apa.
Baik ilmu mahupun harta yang mampu aku sedekahkan, apa yang aku miliki hanyalah
kecintaan.
‘‘Kecintaan kepada
Allah, kepada Rasulullah dan kepada sesama manusia. Dan setiap malam menjelang
tidur, aku selalu berusaha menguatkan rasa cinta itu, sekali gus berusaha
menghilangkan perasaan benci yang ada kepada sesiapa saja. Bahkan terhadap
orang-orang kafir sekalipun.”
Memelihara perasaan
benci dan marah, bererti menyimpan perasaan ego. Wujudnya perasaan benci,
bererti adanya sikap untuk menyalahkan orang yang dibenci itu dan menyalahkan
orang lain bererti menganggap diri kita sahaja yang betul.
Kita tidak harus lupa bahawa sikap itulah yang ditunjukkan
oleh syaitan ketika penciptaan Nabi Adam a.s.
Kisah tersebut
memberikan gambaran kepada kita, bahawa perasaan benci, bukan hanya
mengakibatkan fitnah dan permusuhan, tetapi juga dapat menimbulkan penyakit
batin yang sangat buruk, sekali gus menjauhkan diri dari syurga yang menjadi
idaman setiap mukmin.
Oleh itu sikap yang
paling bijak ialah berusaha untuk memperbaiki diri, sekali gus menjadi orang
yang pemaaf. Sebab itulah yang selalu dilakukan Rasulullah SAW sepanjang
perjalanan hidup baginda. Sedangkan hidup Nabi adalah contoh bagi setiap
mukmin.
Tetapi malangnya di
kalangan umat Islam termasuklah mereka yang bergelar pemimpin mengaku kelemahan
sendiri seolah-olah adalah satu dosa. Oleh itu mereka lebih suka menuding jari
kepada orang lain termasuklah mencerca sesama Islam apatah lagi kalau sesuatu kumpulan
itu dilihat sebagai musuh politik mereka.
Rasulullah SAW dalam
sebuah hadis bersabda, ‘‘Orang Islam yang suka mencerca itu ibarat memakan
daging saudaranya sendiri.’’
Dalam riwayat lain,
Nabi bersabda bahawa seorang muslim adalah yang menyelamatkan sesama muslim
dari lidah dan tangannya.
perbuatan
Di zaman Nabi, pernah
ada sekelompok orang yang digerakkan kaum munafik telah mencerca sahabat Rasul.
Baginda Rasulullah lalu bersabda, ‘‘Jangan kalian mencerca para sahabatku.
Seandainya kalian
membelanjakan harta sebesar Gunung Uhud, nescaya amal kalian
tidak akan dapat mengalahkan para sahabatku.”
Sebenarnya pokok
pangkal perbuatan itu ialah bergantung kepada lidah. Biarpun dia seorang
pemimpin, dia seharusnya menjaga lidah apabila bercakap dan bukannya mengikut
hati serta perasaannya sahaja.
Diriwayatkan bahawa
Lukman al-Hakim, pernah disuruh majikannya membeli daging yang baik untuk
menjamu para tamunya. Lukman membeli hati dan lidah. Majikannya berasa marah
dengan tindakan Lukman dan bertanya kepadanya kenapa dia membeli hati dan
lidah.
‘‘Tidakkah ini daging
yang baik seperti tuan pesan. Hati merupakan sumber amal perbuatan yang baik,
sedang lidah dapat menjalin persaudaraan. Dari keduanya orang dapat membangun
kebaikan,” jawab Lukman.
Pada satu hari
majikannya menyuruh Lukman membeli daging yang busuk. Tujuan majikannya ialah
untuk mengetahui apa pula jenis daging yang akan dibeli oleh Lukman.
Apabila pulang Lukman
sekali lagi membeli hati dan lidah. Tindakan Lukman mengejutkan majikannya dan
bertanya kenapa dia berbuat demikian sedangkan yang disuruh dibeli ialah daging
yang busuk.
‘‘Benar tuan, ini
daging terbusuk. Hati adalah daging yang paling baik dan sekali gus juga paling
busuk. Ia sumber kedengkian dan rasa bongkak. Lidah merupakan ‘alat’ untuk
melaknat, mencerca dan mencaci orang lain.”
Justeru adalah jelas
lidah merupakan cermin hati seseorang. Bila hati bersih, lidah nescaya tidak
akan bertutur kecuali yang baik. Sebaliknya bila hati ‘tercemar’, maka lidah
akan mudah berkata-kata yang buruk.
Oleh itu dalam kita
memelihara persaudaraan Islam maka kita perlulah menjaga lidah daripada mencaci
dan memaki hamun sesama Islam. Tidak kisahlah apapun perbezaan antara kita
namun persaudaraan
Islam tetap harus menjadi teras utama.
Untuk menggambarkan dalamnya persaudaraan Islam (ukhuwah
Islamiah), Allah SWT menggunakan kata ikhwah, yang bererti “saudara kandung’' .
Ini berbeza dengan
ikhwan, yang ertinya “berteman’', sebagaimana digunakan Allah dalam surat Ali
‘Imran ayat 103, untuk menggambarkan bagaimana suku-suku Arab pada zaman
jahiliah yang bermusuh-musuhan, kemudian bersatu setelah memeluk Islam. Jadi,
setelah berada dalam satu agama, setiap Muslim adalah teman bagi yang lain. Dan
setelah keIslaman itu meningkat, setiap Muslim seharusnya dapat memandang
Muslim lain sebagai saudara kandungnya.
Ukhuwah Islamiah
dapat diwujudkan seperti disabdakan Rasulullah SAW yang antara lain dalam
bentuk bahawa seorang Muslim harus dapat mencintai Muslim lain sebagaimana ia
mencintai diri sendiri; bahawa seorang Muslim harus dapat merasakan kesusahan
yang dialami Muslim lain.
memaafkan
Di dalam al Quran,
Allah SWT meminta agar seorang Muslim tidak memusuhi, mencaci, buruk sangka
kepada Muslim lain. Apa yang perlu dipertingkatkan ialah saling memaafkan,
mendoakan dan melindungi.
Oleh itu, sebagai
umat Islam kita seharusnya memegang teguh kepada persaudaraan Islam seperti mana
yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud;
‘‘Berpegang teguh
kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai
dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa
jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan antara hati kamu (sehingga kamu bersatu
padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu
orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang
neraka (semasa kekufuran kamu semasa jahilian), lalu Allah selamatkan dari itu
nerakat itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan
kepada kamu ayat-ayat keterangannya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah.’’
Semoga di sepanjang
jalan hidup di alam fana ini, kita akan sentiasa memelihara ukhuwah Islamiah
biar siapapun kita.